PRN Sabah: KDM tolak sertai GBS, kekal pendirian tanding solo - Wetrom

KOTA KINABALU - Timbalan Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda menafikan pernah berunding dengan mana-mana pihak berhubung pembentukan gabungan politik baharu di Sabah termasuk dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan. 

Katanya, laporan yang mengatakan Jeffrey telah berjumpa beliau mengenai kemungkinan parti itu menyertai 'Gerakan Bersatu Sabah' (GBS) adalah tidak benar malah tidak pernah dibincangkan.

"Tidak benar (KDM akan sertai pembentukan GBS), saya tidak pernah berbincang dengan mana-mana pihak berhubung perkara ini termasuk dengan Datuk Jeffrey. 

"KDM kekal dengan pendirian sebelum ini iaitu akan bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, keputusan ini adalah seiring dengan kehendak akar umbi yang mahukan KDM bertanding solo.

"Mana mungkin kami membelakangi kehendak akar umbi, sekali lagi saya tegaskan, KDM sebagai sebuah parti tempatan akan bergerak solo pada PRN nanti," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu, sebuah portal melaporkan, satu blok politik baharu sedang dibentuk di bawah nama cadangan 'Gerakan Bersatu Sabah' (GBS) oleh bekas parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu Parti Progresif Sabah (SAPP) dan STAR.

Laporan itu mengatakan, Jeffrey ketika dihubungi memaklumkan telah berbincang dengan beberapa pemimpin parti tempatan yang berminat untuk menyertai blok baharu itu dengan rancangan untuk merasmikan GBS beberapa hari sebelum hari penamaan calon pada 15 November depan.

Salah satu pihak utama yang dikatakan cuba direkrut Jeffrey ialah parti KDM dan beliau turut mendakwa telah bercakap dengan Wetrom mengenai kemungkinan parti itu menyertai GBS tetapi masih ragu-ragu memandangkan pengumuman awal KDM bahawa ia akan bertanding di 38 kerusi.