KOTA KINABALU – Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mempersoalkan ketegasan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam memperjuangkan hak Sabah apabila didakwa berdiam diri semasa penggubalan Akta Laut Wilayah 2012 ketika menjadi anggota Kabinet Persekutuan.
Menurutnya, tindakan Shafie yang kini lantang membangkitkan isu sempadan maritim dan hak negeri di Parlimen disifatkan sebagai tidak konsisten dan sekadar retorik politik menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Selama ini mereka membina persepsi bahawa kerajaan GRS gagal memelihara hak khazanah alam, minyak dan gas Sabah. Persepsi itu dibina tanpa bukti sahih. Retorik pula dilontarkan kononnya mereka pejuang tegar hak dan kepentingan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, contoh paling jelas ialah isu penggubalan Akta Laut Wilayah 2012 yang telah mengehadkan hak dan kuasa maritim Sabah kepada hanya tiga batu nautika dari pantai negeri.
Armizan berkata, pada 22 Julai 2025 lalu, Shafie lantang menyatakan di Parlimen bahawa sebarang perubahan yang melibatkan negeri perlu mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sambil memetik Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
“Memang hebat dan memang tepat! Tapi ironinya, di mana suara Shafie pada tahun 2012 ketika beliau menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Kanan Kabinet Persekutuan?” soal Armizan.
Beliau mempersoalkan mengapa Shafie tidak membangkitkan perkara sama ketika kerajaan Persekutuan pada masa itu membentangkan Rang Undang-Undang Laut Wilayah yang akhirnya diluluskan dan diwartakan sebagai Akta pada 22 Jun 2012.
“Adakah beliau bersuara di Parlimen atau dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada masa itu?” katanya.
Armizan menjelaskan, akta berkenaan jelas telah mengubah sempadan asal maritim Sabah sebagaimana termaktub dalam The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.
“Sekarang, kerajaan negeri pimpinan GRS tegas dengan pendirian, termasuk yang dizahirkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di DUN Sabah bahawa Sabah tidak menerima Akta Laut Wilayah 2012,” katanya.
Justeru, katanya, jelas siapa yang benar-benar mempertahankan hak negeri dan siapa yang gagal berbuat demikian.
“Siapa yang terbukti tegas dan siapa yang terbukti gagal? Cakap tidak serupa bikin,” tegas beliau.
Sebagai perbandingan, beliau berkata GRS bersama Pakatan Harapan (PH) di Sabah serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak telah berjaya memastikan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, bukan di Sabah dan Sarawak.
“Itu bukti jelas, bukan retorik. Perjuangan menjaga hak negeri dilakukan dengan tindakan, bukan kata-kata,” ujarnya.