JOHOR BAHRU - Kegagalan menguruskan perpaduan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) boleh memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Johor.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sekiranya perpaduan dalam PH tidak dijaga dengan baik, situasi itu akan membuka ruang kepada PN meraih sokongan rakyat.
“PN bagi kita bukanlah ancaman di Johor. Tetapi kalau kita gagal melihat soal perpaduan ini dan tidak menyelesaikannya dengan baik, kita boleh membuka ruang kepada PN.
“Sebab itu, saya pesan kepada ahli dan pimpinan Amanah Johor, kita mesti kekalkan perpaduan dan jadikan kekuatan ini sebagai semangat bersama supaya PN tidak menang di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Konvensyen Amanah Johor di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.
Menurutnya, kelemahan PN ketika ini terserlah apabila gabungan itu sendiri tidak mampu menamakan calon Perdana Menteri yang jelas.
“Kalau PH, Perdana Menteri kita ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau Amanah, tentulah presiden parti. Tetapi Pas sendiri pun tidak mampu meletakkan nama presiden mereka sebagai calon Perdana Menteri.
“Nak calonkan seorang PM pun tak mampu, apatah lagi nak tadbir negara. Jadi bagaimana orang Johor mahu menerima gabungan seperti itu?” ujarnya.
Beliau berkata, Johor sebagai negeri maju memerlukan pentadbiran yang berwibawa, bukannya gabungan yang hanya bermain dengan sentimen perkauman.
“Johor mesti terus ke depan, jangan sampai kemajuan yang kita bina tersekat hanya kerana mereka tidak mampu mentadbir.
“Sentimen perkauman saya percaya tidak akan mendapat tempat di Johor. Yang penting, kita semua kena bekerja kuat dan pertahankan perpaduan,” katanya.