KOTA KINABALU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hanya calon yang bersih daripada sebarang rekod jenayah atau masalah peribadi akan dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, senarai nama yang diterimanya telah dihantar kepada pelbagai agensi untuk semakan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahkamah syariah dan mahkamah sivil bagi memastikan semua calon bebas daripada rekod jenayah dan masalah peribadi.
“Ini telah saya lakukan dan senarai itu yang ada pada saya termasuklah sijil-sijil yang dikeluarkan ada nama tidak berapa (kesihatan mental), yang kalau pukul orang atau membunuh orang, dia tak salah sebab dia ada sijil itu.
“Ertinya kali ini, calon BN yang akan dipilih ialah calon yang mempunyai rekod yang baik dan bersih daripada sebarang kes jenayah dalam apa bentuk sekalipun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Inspirasi Wanita Luar Biasa Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Jelita GiatMara 2025 di sini pada Sabtu.
Diminta mengulas lanjut mengenai senarai calon tersebut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menegaskan proses penapisan telah dijalankan sepenuhnya.
“Kami memang telah melakukan penapisan dan kami telah selesai,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai jumlah keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Mengenai calon wanita pula, beliau mengesahkan ada yang tersenarai dan ia berdasarkan kebolehmenangan calon untuk memenangi kerusi dalam PRN kali ini.
“Kita melihat calon-calon yang boleh membawa kepada kemenangan dan kali ini kita amat teliti,” tegasnya.