Idris Ahmad dilantik Pesuruhjaya Pas Perak ganti Razman

IPOH - [DIKEMAS KINI] Selepas 13 tahun menyandang jawatan Pesuruhjaya Pas Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria akur apabila tidak lagi dilantik ke jawatan berkenaan setelah Pas Pusat mengumumkan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad sebagai pengganti.

Razman menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Pas Pusat khususnya Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memberi kepercayaan kepadanya memegang amanah tersebut sejak 2013.

Menurutnya, sepanjang lebih sedekad itu, sebanyak empat fasa besar perjuangan bersama kepimpinan dan ahli Pas di seluruh negeri telah dilalui.

“Fasa pertama ialah ketika berlakunya perpecahan parti dan tertubuhnya Amanah. Walaupun diuji dengan kehilangan sebahagian tenaga, namun Pas Perak kekal istiqamah mempertahankan jamaah.

“Fasa kedua pula ialah ketika PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) apabila Pas bergerak sendirian tanpa sebarang gabungan besar.

"Walaupun penuh cabaran, Pas Perak kekal konsisten dengan dasar perjuangan Islam," katanya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu.

**media[3277040]**

Razman berkata, fasa ketiga adalah ketika terbentuknya Muafakat Nasional bersama UMNO sebelum Pas menyertai kerajaan negeri selepas kejatuhan Pakatan Harapan 1.0 dan terlibat dalam pentadbiran negeri dengan semangat ta’awun demi kestabilan politik.

Menurutnya lagi, fasa keempat ialah ketika PRU15 pada 2022 apabila Pas menyertai Perikatan Nasional (PN) dan berjaya memenangi 17 kerusi DUN Perak sekali gus melonjakkan pengaruh parti ke arus perdana politik tanah air.

Razman turut berterima kasih kepada seluruh pimpinan dan ahli Pas di semua peringkat yang disifatkannya sebagai nadi kekuatan parti sehingga terus diterima masyarakat.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada Idris yang disifatkannya sebagai pemimpin berpengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran negara.

"Beliau adalah seorang pemimpin berpengalaman luas dalam lapangan politik dan pentadbiran negara termasuk menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Pas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta pelbagai amanah kepartian.

"Saya meyakini dengan kepimpinan beliau, Pas Perak akan terus dipandu menuju kejayaan yang lebih besar, memperkukuh saf perjuangan serta mengangkat martabat Islam di negeri ini,” katanya.

Razman yang kini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat bagi sesi baharu menegaskan jawatan itu bukanlah kemuliaan sebaliknya amanah besar yang menuntut kesungguhan dan pengorbanan.