ALOR SETAR – Pentadbiran Pas di Kelantan selama lebih tiga dekad tanpa sebarang skandal rasuah besar menjadi bukti kukuh bahawa parti itu memiliki keupayaan mentadbir negara dengan berkesan dan berintegriti.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, rekod bersih itu tidak pernah dicapai oleh mana-mana negeri lain, sekali gus mengangkat Pas sebagai parti paling stabil dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Lebih 30 tahun kita mentadbir Kelantan dan hingga kini tiada kes besar rasuah. Ini membuktikan Pas serius menjaga integriti pentadbiran dan bukan sekadar retorik politik,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan usul Muktamar Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut pada Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pentadbiran Pas di Terengganu yang diterajui barisan teknokrat berwibawa memperkukuh lagi kredibiliti parti itu sebagai entiti politik yang mampu melaksanakan dasar secara profesional dan berkesan.
“Kita lihat di Terengganu, pentadbirannya dipimpin oleh teknokrat yang berwibawa. Ini memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Pas bukan sahaja berpolitik, tetapi juga mampu mentadbir dengan cemerlang,” ujarnya.
Mohamed Sukri juga berkata, Kedah dengan visi pembangunan Greater Kedah menunjukkan kesungguhan parti itu membangunkan negeri melalui pendekatan berstrategi dan berfokus.
Katanya, Perlis pula membuktikan bahawa kepimpinan yang dekat dengan rakyat mampu menjadi contoh pentadbiran yang mesra dan peduli terhadap keperluan masyarakat.
“Gabungan kejayaan di empat negeri ini, ditambah dengan penguasaan 43 kerusi Parlimen, sudah cukup untuk membuktikan Pas layak tampil sebagai peneraju utama PN,” tambahnya.
Beliau menekankan bahawa sudah tiba masanya Pas tidak lagi hanya menjadi pengikut dalam gabungan tersebut, sebaliknya perlu mengemudi hala tuju negara ke arah yang lebih baik.
“Kita tidak boleh hanya menjadi pengikut. Pas perlu menjadi nakhoda utama dalam PN demi masa depan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar parti menampilkan calon yang benar-benar diyakini rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), bukan sekadar bergantung kepada kuota parti.
“Kemenangan akan lebih mudah dicapai jika kita tampilkan calon boleh menang. Ini strategi penting untuk membawa PAS ke Putrajaya,” katanya lagi.
Menurut Mohamed Sukri, keyakinan rakyat terhadap Pas semakin kukuh dan muktamar kali ini membuktikan semangat seluruh jentera parti untuk memperkasakan PN sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.