Pas berhak pilih calon PM, keputusan muktamad terletak pada Majlis Presiden PN - Razali Idris

KUALA NERUS – Pas berhak mencalonkan sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun keputusan muktamad tetap akan ditentukan oleh Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, walaupun Pas menamakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon, manakala Bersatu mencalonkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon 'poster boy', keputusan akhir tetap terletak di peringkat tertinggi gabungan itu.

"Itu hak masing-masing untuk mencalonkan (sesiapa), tetapi akhirnya Majlis Presiden PN yang akan membuat keputusan. Apabila diputuskan, semua pihak perlu akur dan menyokong," katanya.

Razali berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan majlis penutup Karnival Pantai 2025 di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir pada Ahad.

Jelas Razali, keputusan setiap parti untuk menentukan calon 'poster boy' atau Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah kerana risikonya amat tinggi.

"Bersatu mencalonkan presiden parti sebagai 'poster boy' untuk pilihan raya, pada hari pertama sahaja sudah menerima kecaman. Itu perkara biasa yang akan dihadapi oleh calon yang kita cadangkan.

"Keputusan menentukan siapa calon itu hak Bersatu dan saya difahamkan Pas juga cuba mencalonkan calon PM daripada Timbalan Presiden. Itu hak mereka, dan kita kena raikan hak itu.

"YAB MB selaku Naib Presiden Pas juga memberi gambaran bahawa sudah tiba masanya Pas menerajui PN. Itu pun hak beliau sebab beliau layak bercakap dan membuat kenyataan sedemikian kerana Pas mempunyai majoriti kerusi berbanding parti lain.

"Tetapi keputusannya akan ditentukan oleh AJK PN. Cadangan Bersatu atau Pas atau mana-mana parti lain mesti diangkat ke Majlis Presiden PN, dan selepas keputusan muktamad dibuat, kita akan menyokong sebulat suara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pandangan Ahmad Samsuri agar Pas mengambil alih kepimpinan PN juga dihormati, namun ia tetap perlu dipersetujui secara konsensus dalam kalangan pemimpin gabungan.

"Memang Pas mempunyai majoriti kerusi Parlimen iaitu 43 berbanding 31 kerusi dimiliki Bersatu, tetapi keputusan akhir tetap di tangan Majlis Presiden. Tidak perlu timbulkan kekecohan, biarlah peringkat tertinggi yang tentukan," katanya.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu menegaskan, pelbagai usul atau kenyataan berkaitan isu 'poster boy' tidak menjejaskan persiapan PN dalam menghadapi PRU16.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, Bersatu terbuka menerima penyertaan MCA dan MIC sekiranya kedua-dua parti itu berminat menyertai PN, namun menolak sebarang kerjasama dengan DAP.