DHPP diiktiraf sebagai sayap rasmi Pas

ALOR SETAR - Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) kini diiktiraf sebagai sayap rasmi parti Pas setanding dengan Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Assabiqun.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pindaan perlembagaan Pas yang berkuat kuasa 8 Ogos lalu membolehkan DHPP menerima keahlian bersekutu daripada warganegara Malaysia beragama selain Islam.

Menurutnya, menerusi pindaan yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) itu, semua ahli DHPP sebelum ini yang berstatus rakan Pas secara automatik diserap menjadi ahli bersekutu.

“DHPP kini merupakan sayap rasmi bersama Assabiqun, Ulama, Muslimat dan Pemuda,” katanya ketika berucap pada Muktamar Pas ke-71 di Kompleks Pas di sini pada Isnin.

Takiyuddin berkata, langkah itu dijangka memperkukuhkan kedudukan DHPP sebagai platform rasmi yang menghubungkan Pas dengan masyarakat bukan Islam, sekali gus mengiktiraf peranan mereka dalam perjuangan parti itu.

“Pas kini mencatatkan keahlian seramai 1.3 juta orang dengan purata kemasukan baharu antara 2,000 hingga 3,000 setiap bulan secara konsisten,” katanya.

Dengan pengiktirafan itu, DHPP dijangka memainkan peranan lebih besar dalam membantu memperluas pengaruh Pas merentasi pelbagai lapisan masyarakat, khususnya di kawasan bandar dan campuran menjelang pilihan raya umum akan datang.