KOTA KINBALU: Umno menepis dapatan kajian Ilham Centre yang mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mempunyai kelebihan menguasai Plihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang dengan kekuatan parti itu sekata di semua wilayah.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, parti itu atas prinsip demokrasi menghormati dapatan terbabit namun mendakwanya tidak berpijak di bumi nyata dengan mempersoalkan kayu ukur digunakannya.
Tegasnya, sejarah politik negara membuktikan kelebihan jentera kerajaan tidak menjamin kemenangan dan Umno akan membuktikan perkara itu pada PRN17 tidak lama lagi.
Beliau mendakwa dapatan pihaknya di lapangan mendapati wujud sentimen sebaliknya terhadap kerajaan GRS diketuai Datuk Seri Hajiji Noor atas beberapa faktor seperti masalah tiga serangkai iaitu air, elektrik dan jalan yang belum selesai.
"Keyakinan semakin pudar terhadap GRS juga dilihat melalui integriti dan dakwaan rasuah serta ekonomi rakyat yang semakin mengecil.
"Janji peluang pekerjaan hanya tinggal retorik, realitinya kehidupan semakin terhimpit dengan kos sara hidup meningkat tanpa pelan ekonomi yang menyentuh isi perut rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Libaran itu turut mengingatan keyakinan rakyat tidak boleh dibentuk melalui laporan atau kenyataan pihak tertentu semata-mata.
"Barisan Nasional (BN) di satu sudut telah tampil dengan rekod pencapaian kukuh serta pengalaman mentadbir terbukti.
"Justeru, 'Gelombang Biru' pada 21 September di Magellan Sutera bukan sekadar perhimpunan biasa tetapi simbol kebangkitan rakyat Sabah untuk kembali kepada kepimpinan stabil, konsisten dan berwibawa," katanya.
Semalam, sebuah portal melaporkan GRS dilihat mempunyai kelebihan menguasai PRN17 dengan kekuatan parti itu sekata di semua wilayah hasil dapatan kajian yang dikemukakan Ilham Centre.
Ketua Eksekutifnya, Hisomuddin Bakar berkata, kajian awal pihaknya mendapati majoriti pengundi di Sabah lebih terarah kepada personaliti calon dan pengaruh parti.
Sehubungan itu, kajian GRS dilihat mempunyai kekuatan dalam aspek itu khususnya di kawasan majoriti Bumiputera Islam dan Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).
Jelasnya, GRS mempunyai kelebihan sumber kerana parti pemerintah dan ketokohan tokoh parti mereka.
Kajian mendapati parti pembangkang khususnya Warisan dan BN dijangka sukar menembusi kekuatan GRS memandangkan parti berkenaan hanya dominan di kawasan tertentu.
Pakatan Harapan (PH) pula masih dilihat kuat di kawasan bandar majoriti Cina yang memberi kelebihan kepada DAP dan PKR.
Bagi Perikatan Nasional (PN), kajian mendapati pengaruh gabungan itu merosot teruk selepas sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyertai GRS, malah kekuatannya di Sabah hanya tersudut kepada Ketuanya, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran.