Demokrasi dalam Pas tidak mati - Tuan Ibrahim

JITRA - Keputusan tidak mempertandingkan jawatan kepimpinan tertinggi Pas bukan bermakna demokrasi sudah mati dalam parti itu, sebaliknya ia cerminan kepada semangat kesepakatan demi memperkukuhkan gerak kerja parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah tersebut membolehkan Pas memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) serta jentera pilihan raya tanpa dibayangi isu perebutan jawatan dalaman.

Menurutnya, apabila tiada isu besar dalam pertandingan jawatan, isu dalaman parti tidak berbangkit dan semua pihak dapat memberi tumpuan dalam gerak kerja pilihan raya.

“Sekurang-kurangnya kita tidak ada isu dalaman dan tidak ada isu pemilihan. Satu isu sudah selesai, iaitu melantik Presiden, Timbalan, Naib Presiden. Hampir semua Dewan pun begitu. Jadi kita boleh terus fokus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan ‘Muslim Ummah International Forum’ di Bandar Darulaman pada Ahad.

Tuan Ibrahim berkata, demokrasi dalam Pas tidak diukur melalui pertandingan jawatan semata-mata, sebaliknya berlandaskan persetujuan dan pengagihan tanggungjawab kalangan pemimpin.

“Demokrasi bukan bermakna lawan. Demokrasi maknanya kesepakatan.

“Contoh yang terbaik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, beliau dapat banyak pencalonan, tetapi memilih untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden kerana mahu fokus kepada tugas sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengarah Pilihan Raya,” jelasnya.

Tambah beliau, budaya kempen untuk merebut jawatan tidak diamalkan dalam Pas kerana jawatan dianggap amanah, bukannya perebutan.

“Siapa yang boleh bantu, dia bantu. Dalam Pas pantang berkempen, biasanya siapa kempen, dia kalah. Jadi sebelum kalah baik tarik diri,” katanya.

Tuan Ibrahim tegaskan, fokus utama Pas kini ialah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam masa terdekat sebelum bergerak ke arah sasaran lebih besar untuk memenangi 80 kerusi Parlimen pada PRU16.

“Sekarang waktu untuk fokus gerak kerja, perkukuhkan PN dan jentera parti. Insya-ALLAH kita akan lihat hasilnya,” ujarnya.