SHAH ALAM – Sayap pemuda parti Bersatu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham menegaskan sayap pemuda parti itu tidak boleh lagi dipandang rendah dan sama sekali bukan budak suruhan mana-mana pihak.
Beliau berkata, Armada adalah kumpulan anak muda merdeka yang memiliki semangat dan jiwa yang tidak boleh diperhambakan.
“Armada bukan budak-budak, apalagi menjadi budak suruhan. Berbekal idealisme dan prinsip perjuangan yang luhur, Armada tegas berani meneroka arus perjuangan yang segar dan baharu.
“Norma dan keselesaan bukan alasan untuk kita tidak melakukan perubahan dan terus berada di takuk yang lama.
"Armada hari ini berani untuk menyatakan sikap dan pendirian, tidak takut dengan perbezaan dan tidak sekali-kali tunduk dengan tekanan. Armada takkan di pasung kaki dan tangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali kelapan 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (ICC) Shah Alam pada Sabtu.
Muhammad Hilman memaklumkan, Armada ketika ini tampil sebagai pasukan yang berdisiplin, teguh bersemangat serta bersedia memimpin kemenangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau turut mengkritik Kerajaan Madani atas pelaksanaan dasar yang didakwa flip-flop dan gagal mengutamakan kepentingan rakyat khususnya anak muda.
Susulan itu, katanya, Armada akan memperjuangkan dasar yang lebih adil termasuk mencadangkan penubuhan suruhanjaya industri gig lengkap dengan dana perlindungan sosial dan pelaksanaan gaji minimum graduan.
“Armada mengajukan cadangan supaya sebuah dasar gaji minimum graduan (diperkenalkan) bagi menjamin nasib lepasan universiti yang masih belum menimba sebarang pengalaman kerja supaya tidak terjerat dengan perangkap gaji rendah.
“Armada juga akan menubuhkan sebuah majlis perundingan kebijakan yang akan menghimpunkan kumpulan anak muda profesional dari pelbagai latar untuk menjana usaha pembentukan polisi serta tawaran baharu buat seluruh anak muda Malaysia,” ujarnya.
ENDS