SHAH ALAM – Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) sayap Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali kelapan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Sabtu, ketika Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dilaporkan ‘melamar’ MCA dan MIC untuk menyertai mereka.
Kesavan dilihat duduk di kerusi barisan hadapan sebaris dengan Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham menyampaikan ucapan dasar.
Perwakilan Armada Bersatu turut bersorak apabila MIC disebut dalam ucapan alu-aluan Muhammad Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia.
Kesavan turut bergambar bersama barisan kepimpinan, perwakilan dan pemerhati Armada Bersatu selepas Muhammad Hilman selesai berucap.
Selain beliau, antara yang hadir dalam perhimpunan tersebut ialah Pemangku Ketua Pemuda Parti Gerakan, Lee Boon Shien dan Ketua Pemuda Parti India Rakyat Malaysia (MIPP), Justin Prabakaran.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Muhyiddin memberi bayangan bahawa PN bakal diperkukuh dengan lebih banyak parti termasuk kemungkinan penyertaan MIC dan MCA sebagai ‘PN Plus’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Jika hasrat tersebut direalisasikan, ia sekali gus membuka ruang lebih besar kepada PN untuk memperluas sokongan pengundi bukan Melayu, malah berpotensi meraih antara 15 hingga 22 kerusi baharu hanya dengan tambahan tiga peratus undi melalui faktor ‘swing’.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mendedahkan bahawa gabungan itu telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan MIC dan MCA.
Selain itu, Ketua Biro Media MIC Kebangsaan, L Siva Subramaniam turut memberi kata dua kepada Barisan Nasional (BN) agar segera melaksanakan reformasi dalaman dan memberikan kuasa setimpal kepada parti tersebut, atau berisiko kehilangan salah satu rakan komponen terasnya.
Katanya, MIC tidak lagi sanggup menjadi pemerhati bisu dalam politik yang semakin meminggirkan suara mereka serta menunggu janji kosong atau sekadar duduk di tepi tanpa kuasa sebenar.
Sebelum ini juga, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan mempelawa MIC dan MCA untuk menyertai PN.
Pelawaan itu susulan laporan media bahawa MIC Kedah telah meluluskan resolusi untuk bekerjasama dengan PN dan tidak menolak kemungkinan meninggalkan BN pada Ogos lalu.
Pada Jun lepas, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pula berkata bahawa sebanyak 191 bahagian parti itu akan membincangkan masa depan mereka di tengah-tengah rasa tidak puas hati terhadap kekurangan pengaruh dalam kerajaan dan akan membawa cadangan tersebut ke mesyuarat agung tahunan pada Oktober depan.