MIC didesak putuskan segera kedudukan dalam BN

SHAH ALAM – Pucuk pimpinan MIC digesa membuat keputusan segera mengenai kedudukan parti itu sebagai komponen Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi MIC, Datuk R T Rajasekaran berkata, gesaan itu dibuat susulan banyak usul daripada Mesyuarat Agung MIC negeri, khususnya dari Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Selangor yang menyarankan agar parti tersebut meninggalkan BN.

“Suatu keputusan yang muktamad akan memberi kepastian kepada ahli-ahli MIC mengenai status parti sekarang serta untuk bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, desakan agar MIC keluar dari BN bukan perkara baharu kerana beberapa pemimpin parti sebelum ini turut menyuarakan pandangan yang sama.

Setiausaha Agung MIC, Datuk S Ananthan sebelum ini menegaskan bahawa sebarang keputusan yang dibuat adalah demi kepentingan parti dan masyarakat India, tanpa perlu menunggu atau merujuk kepada MCA.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai parti komponen BN, MIC mempunyai autonomi sepenuhnya untuk menentukan hala tuju dan pendiriannya sendiri.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran juga sebelum ini menyatakan bahawa MIC bersedia berunding dengan mana-mana pihak demi masa depan parti serta kesejahteraan masyarakat India.