SHAH ALAM - Kejayaan DAP melahirkan ramai kepimpinan wanita dalam Parlimen mendapat pujian Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menegaskan sayap parti itu tidak boleh sekadar menjadi pelengkap senarai calon dalam pilihan raya umum (PRU) mahupun pilihan raya negeri (PRN).
Menurut Mas Ermieyati, mengambil inspirasi daripada DAP, sebagai koalisi parti Melayu-Islam terbesar, Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) wajar menjadi jaguh dalam misi memartabatkan wanita dalam kumpulan pembuat dasar negara.
“Realitinya, DAP adalah antara parti yang berjaya melahirkan ramai kepimpinan wanita di Parlimen.
“Mereka diberi ruang, diberi peluang dan kini ahli Parlimen wanita mereka menjadi wajah kepimpinan parti.
“Mereka memegang rekod 25 peratus ahli Parlimen wanita. Ini satu pencapaian yang menakjubkan. Bagaimana pula kita?
“Saya seorang sahaja wakil wanita Bersatu di Parlimen. Saya tidak mahu berjuang sendiri di bawah payung Bersatu,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu 2025 di sini pada Sabtu.
Mas Ermieyati berkata, Srikandi Bersatu perlu membuktikan bahawa wanita merupakan penentu kemenangan parti, penggerak jentera serta pemimpin yang mampu membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
“Oleh itu, satu platform untuk melatih, membimbing dan memastikan lebih ramai Srikandi diketengahkan sebagai pemimpin berkualiti haruslah direalisasikan.
“Insya-ALLAH, perkara tersebut telah diangkat kepada Presiden parti kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan,” katanya.