SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Sayap-Sayap Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Sabtu.
Ketibaan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disambut beberapa pimpinan utama parti termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Turut hadir, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Muhyiddin meluangkan masa hampir satu jam mengikuti sesi perbahasan Armada, Srikandi dan Srikandi Muda.
Beliau turut mendengar ucapan dasar beberapa pemimpin termasuklah Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Ezzati Azmi.
Selepas selesai mendengar ucapan dasar, beliau beramah mesra dengan perwakilan yang hadir bagi mengikuti perbahasan berkenaan.
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu itu berlangsung selama dua hari dan Muhyiddin dijadualkan merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada 8.30 malam, Sabtu.