PN sudah ada nama calon Ketua Menteri Sabah - Hamzah

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) mengesahkan sudah mempunyai nama calon Ketua Menteri Sabah sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, calon berkenaan merupakan anak jati Sabah.

“Kita sudah ada nama calon Ketua Menteri. Masa depan negara bergantung kepada golongan muda seperti Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham, yang menunjukkan mereka bersama kepimpinan di Sabah.

“Keadaan ini dilihat bukan sahaja mampu mengambil alih (kepimpinan negeri), tetapi juga meneruskan perjuangan demi masa depan rakyat yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Sayap-Sayap Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Sabtu.

Bagaimanapun, Hamzah menegaskan nama calon Ketua Menteri Sabah berkenaan tidak akan didedahkan buat masa ini sehingga gendang perang PRN Sabah dipalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peluang PN untuk bertapak di Sabah amat besar, lebih-lebih lagi parti politik yang membentuk kerajaan negeri ketika ini dilihat saling bercakaran.

“Ada yang cakap wujud cinta tiga segi di Sabah iaitu mereka bersama, tetapi pada masa sama bercakaran antara satu sama lain.

“Orang tengahnya siapa? Kita tahu orang tengah daripada pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Perdana Menteri berkahwin dengan orang sebelah kiri dan berkahwin juga dengan sebelah kanan, tetapi kiri dan kanan saling tidak bertegur sapa,” katanya merujuk kepada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dakwa Hamzah, situasi itu mengecewakan kerana rakyat pastinya mahukan landskap politik yang lebih baik.

“Saya minta maaf kerana dahulu memang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, merupakan wakil daripada kita tetapi beliau lari ke sebelah sana (parti lawan) dengan membawa sokongan yang kita sama-sama perkuatkan untuk kepentingan parti.

“Akhirnya, yang menjadi mangsa ialah rakyat di bawah sana. Jadi kali ini, insya-Allah, rakyat akan kembali dan sebagai Timbalan Presiden Bersatu, saya pastikan semua ini tidak berlaku lagi demi masa depan kita semua,” ujarnya.