PN yakin tawan semula Putrajaya pada PRU16

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) yakin mampu menawan semula tampuk kuasa di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN sudah membuktikan keupayaan dalam pentadbiran negara sebelum ini.

“Insya-ALLAH kita akan kembali ke Putrajaya tidak lama lagi. Kita pernah memimpin negara, pertama kali bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kepimpinan terdahulu membuktikan Bersatu dan PN mampu memerintah dengan lebih baik berbanding Kerajaan Madani hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Sayap-Sayap Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Sabtu.

Hamzah menegaskan, PRU16 merupakan episod paling penting untuk menentukan masa depan generasi muda di negara ini agar tidak menjadi “pelarian di bumi sendiri”.

“Ini bukan sekadar perebutan kuasa, sebaliknya penentu nasib generasi masa hadapan.

“Pilihan raya akan datang adalah episod paling penting, bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk menentukan masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita agar tidak menjadi pelarian di bumi sendiri. Inilah perjuangan kita,” katanya.

Justeru, beliau meminta semua sayap parti agar bersiap siaga dari segi tenaga, masa dan kewangan bagi memastikan perjuangan PN mencapai kejayaan.