Ada parti dalam kerajaan tidak berani menegur, hanya tahu mengalah - Hamzah

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti dalam kerajaan hari ini didakwa tidak berani bertindak untuk mencegah dan menegur kerosakan yang berlaku dalam negara.

Tanpa menamakan secara spesifik, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti berkenaan hanya bersikap terus mengalah, sekali gus menjadi petunjuk bahawa rakyat perlu melakukan perubahan kepimpinan.

Menurutnya, amat malang apabila banyak kerosakan berlaku, namun parti dalam kerajaan hanya memilih untuk mendiamkan diri.

“Banyak sudah kerosakan dalam negara kita, tapi malangnya ada parti dalam kerajaan tidak berani mencegah, menegur… yang mereka tahu hanya mengalah dan terus mengalah.

“Rakyat dengarlah, berikan peluang kepada Bersatu untuk memerintah demi kepentingan seluruh rakyat.

“Sudah masanya kita lakukan perubahan. Mara dengan gagah perkasa ke medan perang, Insya-ALLAH menuju kemenangan.

“Kita mulakan di Sabah. Kita kasi bagus Sabah. Tahun depan kita tawan Melaka dan menang di Johor. Insya-ALLAH rakyat bersama kita,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Sayap-Sayap Bersatu 2025 di sini pada Sabtu.

Hamzah menambah, pilihan raya umum akan datang bukan semata-mata demi Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya misi menentukan survival serta masa depan umat dan negara keseluruhannya.

“Jika salah pemimpin, akan ranap musnah, hancur berkecailah segala susah payah, perit jerih yang selama ini dicurahkan untuk mendaulatkan maruah.

“Jangan lagi diulang, sudah terhantuk baru nak terngadah,” katanya.