SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh terperangkap dengan ketidaktentuan masa depan dan hanya mengikut rentak pihak lain.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebaliknya Bersatu mesti tampil menentukan acuan serta haluan politik abad ke-21 dengan membawa agenda pembaharuan, keterbukaan dan keberanian selari dengan aspirasi rakyat.
“Politik abad ke-21 menuntut pembaharuan, keterbukaan, keberanian dan relevansi terhadap aspirasi terkini rakyat.
“Kita tidak boleh terbuai dengan nostalgia, sebaliknya perlu sentiasa mencipta kejayaan masa hadapan.
“Bersatu perlu dinamik, Bersatu perlu ada kekuatan moral yang menjadi kompas kepimpinan. Kekuatan yang akan memberi keyakinan kepada rakyat.
“Kita juga mesti ada kelestarian yang bersendikan kebitaraan. Sebagai panduan untuk beroleh keredaan, kita sentiasa menghayati epistemologi tawhidik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Sayap-Sayap Bersatu 2025 di sini pada Sabtu.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menegaskan Bersatu perlu membina jati diri perjuangan atas semangat nasionalis inklusif bagi membentuk sebuah negara bangsa.
Sehubungan itu, katanya, Bersatu perlu mengangkat konsensus nasional sebagai agenda utama untuk ditawarkan kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Hamzah turut mengingatkan sayap parti untuk melakukan libat urus berterusan dengan semua lapisan rakyat demi membina kepercayaan jangka panjang.
“Kuasai naratif digital khususnya di media sosial. Lakukan digital first secara strategik dengan konsisten dan proaktif.
“Tingkatkan literasi politik dan peri pentingnya demokrasi khususnya dalam kalangan anak muda,” katanya.