SHAH ALAM - Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukan semata-mata kerana faktor taktikal, sebaliknya berlandaskan prinsip kejujuran dalam politik.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, GRS lahir daripada episod peralihan politik apabila sebahagian besar ahlinya berasal daripada UMNO, kemudian beralih ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum akhirnya meninggalkan Bersatu untuk menubuhkan gabungan baharu itu.
“GRS lahir atas faktor pengkhianatan. Asalnya mereka UMNO. Kemudian melompat masuk Bersatu. Akhirnya tinggalkan Bersatu dan tubuh GRS. Justeru, di mana kejujuran mereka?
“Sukar mengelak tikaman belakang jika UMNO bekerjasama dengan GRS. Tidak mungkin GRS akan serah empat kerusi ADUN UMNO yang paling tadah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, UMNO Sabah memutuskan untuk tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Perkara itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas beberapa siri perbincangan bersama Pakatan Harapan (PH) dan GRS sebelum ini, selain penelitian terperinci terhadap fakta serta butiran hasil rundingan tiga pihak tersebut.
Tambah Mohd Puad, UMNO sendiri mempunyai rekod kukuh di Sabah yang boleh dijadikan sandaran untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.
“Lebih baik kerjasama untuk elak pertindihan kerusi dan bertanding secara ‘friendly’. Tubuh kerajaan boleh bincang kemudian,” katanya.