KUANTAN - Cadangan kerajaan memberi insentif cukai kepada majikan yang menggajikan warga emas bukanlah penyelesaian ekonomi.
Sebaliknya cadangan itu berisiko menjejaskan peluang pekerjaan anak muda serta mendedahkan kelemahan kerajaan dalam mengurus kebajikan rakyat.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, walaupun cadangan tersebut kelihatan baik, hakikatnya ia hanya kesinambungan daripada dasar kerajaan terdahulu tanpa sebarang penambahbaikan.
Jelas beliau, sekiranya dilaksanakan, cadangan ini akan membawa implikasi besar termasuk peningkatan pengangguran dalam kalangan anak muda kerana terpaksa bersaing dengan warga emas di pasaran kerja.
“Terdapat juga risiko peningkatan kes jenayah akibat tekanan hidup dan kekecewaan belia yang tidak mendapat pekerjaan.
“Keterbantutan idea baharu dalam pembangunan negara kerana kebergantungan kepada warga emas, sedangkan tenaga muda yang lebih kreatif dan inovatif diketepikan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau menegaskan warga emas wajar diberikan ruang untuk beribadah, berehat dan bersama keluarga selepas berdekad menabur bakti kepada masyarakat dan negara.
Ahmad Azlan menambah, sekiranya mereka masih terpaksa bekerja demi kelangsungan hidup, ia jelas menunjukkan kelemahan kerajaan dalam dua aspek utama iaitu gagal menjamin sistem pengurusan kewangan hari tua dan mengawal kos sara hidup rakyat yang terus meningkat.
Sehubungan itu, pihaknya turut mengemukakan beberapa cadangan alternatif antaranya mewujudkan Dana Khas Perlindungan Warga Emas melalui kerjasama kerajaan, agensi zakat dan syarikat korporat.
“Memberi insentif cukai kepada syarikat atau individu yang menyumbang kepada dana berkenaan serta menyediakan insentif cukai kepada anak-anak yang menjaga ibu bapa warga emas.
“Kerajaan juga diminta memberikan akses percuma ke pusat jagaan warga emas, rawatan kesihatan dan perlindungan sosial kepada warga emas yang tidak mempunyai waris,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Azlan berkata, warga emas bukanlah penyelesaian ekonomi yang boleh digalakkan bekerja demi menjimatkan kos kerajaan, sebaliknya mereka perlu diraikan melalui dasar kebajikan menyeluruh dan berterusan.
Katanya, fokus utama kerajaan sepatutnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda agar mereka mampu menyara diri serta menjaga ibu bapa yang lanjut usia.
“Sesungguhnya kejayaan negara bergantung kepada cara ia mengurus generasi muda tanpa mengabaikan kebajikan warga emas,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, usaha menggalakkan pengambilan warga emas untuk bekerja dilaksanakan menerusi insentif cukai kepada majikan yang menggajikan pekerja berusia 60 tahun ke atas.