SHAH ALAM - Veteran UMNO Malaysia mengalu-ngalukan perlantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi mengetuai Pasukan Khas UMNO untuk mengkaji dan meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) sebelum dibentang dalam Konvensyen Melayu Bandar.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya yakin keupayaan Johari yang terlibat secara langsung dalam isu Kampung Bharu untuk membantu menghasilkan satu RUU yang boleh diterima semua pihak yang berkepentingan khususnya orang Melayu bandar.
"Inilah yang Veteran UMNO maksudkan sebelum ini supaya RUU ini dikaji dengan teliti dan diubah suai sebelum ia dibentang semula dan dibahas dalam Parlimen bulan Oktober nanti.
"Kesungguhan UMNO ini menjawab tuduhan sebelum ini yang mengatakan UMNO tidak peka dan cakna terhadap RUU itu dan tidak berani menyanggah cadangan kerajaan walaupun di peringkat Parlimen," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, UMNO melantik Johari untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas itu bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.
Tambah Mustapha, kini terbukti UMNO tidak pernah tersasar dari dasar perjuangannya untuk orang Melayu.
"Ternyata UMNO bukanlah kuda tunggangan DAP seperti sangkaan mereka yang membenci dan bertujuan memburukkan UMNO. UMNO tetap UMNO dan tidak ada istilah UMDAP dalam perjuangan UMNO," tegasnya.