PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disarankan agar memberi tumpuan kepada kemelut dalaman yang kian meruncing, termasuk isu surat layang yang tular, berbanding membuat unjuran berhubung kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan tahun depan.
Sindiran itu dilontarkan oleh Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil yang menyifatkan situasi politik dalaman Bersatu ketika ini sebagai lebih 'rancak dan dinamik',
Malah beliau berkata, kewujudan surat layang yang didedahkan jelas menunjukkan keadaan tidak sihat dalam parti tersebut.
“Unjuran saya tentang politik dalaman Bersatu itu lebih sangat rancak dan dinamik.
“Saya cadangkan mereka fokus kenapa ada surat layang yang didedahkan dan politik seperti ini tidak baik,” katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.
Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung unjuran Bersatu yang menjangkakan PRU16 dan PRN di beberapa negeri bakal diadakan tahun depan.
Katanya lagi, Bersatu sepatutnya memberikan tumpuan penuh kepada Perhimpunan Agung Tahunan parti berbanding mengalih perhatian dengan isu luar.
“Jadi unjuran saya bagi Bersatu ialah fokus kepada Perhimpunan Agung Tahunan mereka,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjangkakan PRU16 akan diadakan tahun hadapan bersama beberapa PRN dan menyifatkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali ini menjadi medan penting untuk Bersatu menyemak dan menilai prestasi di lapangan.
PAT Bersatu 2025 dijadual berlangsung pada 6 dan 7 September di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dengan kehadiran 2,555 perwakilan daripada 202 bahagian seluruh negara.
Menjelang beberapa hari penganjuran PAT Bersatu, terdapat satu surat layang dan memburukkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris, berkata surat layang yang kini tersebar dalam pelbagai ‘group’ WhatsApp penyokong parti itu sejak beberapa hari lalu dipercayai ‘gerak kerja terancang’.