Untungkah MCA, MIC bersama Pas?

SHAH ALAM - Kerjasama MCA dan MIC dengan Pas disifatkan sebagai langkah berisiko kerana bukan sahaja gagal mengembalikan sokongan tradisi masyarakat Cina dan India, malah dikhuatiri menambah beban politik kepada kedua-dua parti berasaskan kaum itu.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, sokongan tradisi masyarakat Cina dan India terhadap MCA serta MIC sudah pun hilang sejak tsunami politik 2008, sekali gus menyukarkan usaha mereka untuk kembali bangkit.

Beliau yang juga Felo Penyelidik Ilham Centre menjelaskan, MCA dan MIC merupakan parti berasaskan kaum berbanding DAP yang tampil sebagai parti berbilang kaum.

“Asas ideologi parti dan juga dengan berkawan dengan Pas itu, adakah mampu mereka menarik sokongan tradisi kaum Cina dan India yang pada saya ini sudah pun hilang sejak tsunami politik 2018.

“Jadi, saya nampak kerjasama itu mungkin akan jadi bebanan kepada MCA dan MIC. Risiko bagi mereka jika mahu menyertai kerjasama berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan menjemput kedua-dua parti itu bergabung susulan beberapa pemimpin MCA dan MIC secara terbuka menyatakan rasa kecewa kerana beranggapan dipinggirkan dalam Kerajaan Perpaduan.

**media[3260045]**

Malah, sekurang-kurangnya tiga MIC negeri - Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, turut mengusulkan parti itu keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan pula sebelum ini turut mendakwa tertipu dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menjanjikan parti itu akan mendapat kerusi dalam Kabinet jika menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau juga memberi bayangan tidak perlu meneruskan kerjasama jika tidak diperlukan.

Usul sama dikeluarkan bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek bahawa parti itu wajar keluar daripada BN jika gabungan itu terus berpegang pada peraturan yang hanya membenarkan parti penyandang bertanding di kerusi yang mereka menangi pada pilihan raya umum akan datang.

Pada PRU15 lalu, MCA menang dua kerusi Parlimen manakala MIC cuma satu kerusi.

Mujibu berkata, strategi kerjasama Pas dengan kedua-dua parti itu sememangnya boleh menguntungkan Pas tetapi melemahkan MCA dan MIC.

“Sebagai contoh, penyertaan MCA mampu menambah imej Pas kerana halangan terbesar parti itu adalah untuk mendapatkan pengaruh daripada parti komponen bukan Melayu-Islam.

“Jika kita lihat dahulu, Pas mendapat laba (keuntungan) besar ketika bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat. Jadi, ia mungkin satu strategi bagi parti itu untuk kembali mendapatkan sokongan sebegitu,” katanya.

**media[3260043]**

Tambah beliau, pelawaan Pas itu juga berkemungkinan selepas melihat pakatan longgar antara 11 parti pembangkang bukan Melayu dengan parti Bersatu.

“Pada satu ketika, kita nampak Pas tidak ada dalam kerjasama itu. Apabila tidak ada, kemungkinan ia adalah salah satu reaksi bagi Pas untuk memancing pengaruh,” jelasnya.

Susulan itu, beliau berkata, Pas dan pakatan pembangkang dilihat jelas berada dalam keadaan terdesak untuk mencari pengaruh daripada MCA dan MIC.

“Cuma dari satu sisi pula, kalau kita nampak di sebalik ajakan Pas itu, MCA dan MIC juga harus menimbangkan kerana menyertai Pas itu saya lihat tidak akan menambah kekuatan MCA-MIC,” ujarnya.

Namun pada masa sama, beliau menegaskan MCA dan MIC tidak boleh hanya bergantung kepada UMNO bagi memastikan kelangsungan politik mereka, sebaliknya kedua-dua parti itu perlu mencari kekuatan baharu.

Saran Mujibu, jalan terbaik bagi MCA dan MIC adalah menyelesaikan isu bersama BN di meja rundingan, selain kedua-dua parti wajar mencari naratif baharu yang segar untuk menarik kembali sokongan kaum masing-masing.

“Jika MCA dan MIC menyertai Pas, ia akan lebih memburukkan lagi asas sokongan itu. Justeru dalam hal ini, bebanan itu bukan hanya kepada MCA dan MIC sahaja, tetapi juga perlu diselesaikan oleh UMNO.

“Memandangkan pilihan raya akan datang sudah tak terlalu lama, jadi ia antara perkara yang harus diselesaikan secara tuntas oleh UMNO sebagai tunjang dalam BN,” katanya.

Mujibu turut menambah, MCA dan MIC tidak boleh hanya mengharapkan UMNO untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi, sebaliknya perlu melakukan pembaharuan dalaman.

“Jika MCA dan MIC menyertai mana-mana pakatan pada ketika ini pun, saya nampak ia tidak akan membantu melainkan kedua-dua parti itu sendiri yang melakukan reformasi dalaman,” ujarnya.