PRN Sabah: Warisan tolak 'pinangan' PN, kekal tanding solo

KOTA KINABALU - Parti Warisan sekali lagi menegaskan bahawa tiada sebarang rundingan atau kerjasama dengan mana-mana gabungan politik pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata demikian selepas pihaknya mengambil maklum kenyataan terkini Perikatan Nasional (PN) yang membayangkan kemungkinan kerjasama dengan parti itu pada PRN kali ini.

Menurutnya, Warisan menghormati hak mana-mana pihak untuk memberi pandangan, namun parti itu tetap berpegang teguh pada pendiriannya.

“Warisan akan bertanding secara solo dan sejak awal lagi, Warisan telah menyatakan pendirian kami ini dengan jelas. Di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Warisan akan bertanding dalam PRN17 secara bersendirian, menggunakan logo sendiri. Keputusan ini telahpun disampaikan secara konsisten dan kekal tidak berubah.

“Warisan menegaskan bahawa tidak ada sebarang rundingan, perbincangan atau perjanjian dengan PN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau mana-mana gabungan politik lain berhubung kerjasama pilihan raya.

“Sebarang cadangan atau spekulasi mengenai pakatan pintu belakang adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Warisan,” tegasnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, satu-satunya pakatan yang dimeterai Warisan ketika ini adalah bersama rakyat Sabah.

“Fokus kami adalah menangani cabaran mendesak yang dihadapi rakyat, termasuk peningkatan kos sara hidup, kekurangan infrastruktur, bekalan elektrik dan air yang tidak menentu, peluang pekerjaan yang terhad serta tuntutan terhadap hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih tertangguh,” katanya.

Tambahnya, dalam suasana politik yang dipenuhi ketidaktentuan dan sikap oportunis, Warisan memilih untuk kekal konsisten, berprinsip dan telus.

“Haluan kami jelas, bertanding secara solo dan menawarkan rakyat Sabah sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan mereka berbanding kepentingan politik semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Azis menegaskan bahawa Warisan akan menghadapi PRN akan datang dengan kekuatan sendiri dan di bawah panji mereka sendiri.

“Kami yakin rakyat Sabah akan terus menaruh kepercayaan kepada Warisan untuk membawa masa depan yang lebih baik, adil dan makmur untuk negeri ini,” katanya.