SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam supaya berdepan dengannya sama ada di mahkamah ataupun di gelanggang, berikutan tuduhan kononnya beliau mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri.
Amaran itu dibuat selepas Lokman secara terbuka menggelar beliau sebagai ‘Ketua Pemuda H20’ dalam satu wawancara bersama sebuah platform baru-baru ini.
Menurut Muhamad Akmal, Lokman kini mempunyai dua pilihan, sama ada menjawab saman beliau di mahkamah ataupun bertemu di gelanggang bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Kamu ada dua pilihan. Pilihan pertama, kita lawan di mahkamah. Aku saman kamu.
“Pilihan kedua, jika kamu takut lawan di mahkamah, mari sini. Kita masuk gelanggang, mari berlawan,” katanya dalam satu video di Facebook pada Sabtu.
Sementara itu, Lokman mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda UMNO itu yang disifatkan seolah-olah berperangai samseng dan pembuli apabila mengajaknya bertumbuk.
Beliau berpendapat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menggunakan kelebihan fizikal kerana lebih muda, tinggi dan kuat untuk mencabar orang lebih tua sepertinya.
“Dia hendak lawan saya di mahkamah, tidak ada masalah. Tetapi bukan semua orang berperangai kebudak-budakan seperti Muhamad Akmal.
“Dia tidak sedar dia memegang jawatan setaraf Naib Presiden UMNO, tetapi berperangai seperti samseng tepi jalan kerana ajak orang bertumbuk,” katanya lagi.