PUTATAN – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin mendakwa kerajaan hari ini gagal mengurus isu negara apabila tragedi kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, yang dikaitkan dengan kejadian buli tidak ditangani sewajarnya sehingga mencetuskan gelombang tuntutan keadilan daripada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya menjadikan kes Zara sebagai keutamaan tertinggi, namun kelemahan tindakan pihak berwajib telah menyebabkan rakyat sendiri bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati.
Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut berkongsi pengalamannya ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan, di mana beliau terpaksa membuat keputusan sukar demi keselamatan pelajar sewaktu pandemik Covid-19.
“Waktu itu kita ada lebih 10,000 sekolah, lima juta murid dan 400,000 guru. Nak buka sekolah, ada yang marah. Nak tutup sekolah pun ada yang marah. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 kita tangguh empat kali. Setiap kali tangguh, saya kena marah. Tapi adakah kami goyah? Tidak.
**media[3240601]**
“Kita menguruskan krisis besar yang melibatkan jutaan pelajar, dan kita berjaya. Sebab itu saya kata, kerajaan hari ini sepatutnya boleh urus kes arwah Zara jauh lebih baik,” katanya ketika berucap pada majlis Ceramah Berkelompok Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat di Royal Plaza Putatan, malam Sabtu.
Dalam pada itu, Radzi turut membandingkan keadaan itu dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya berjaya menguruskan krisis kesihatan, ekonomi dan politik secara serentak ketika pandemik Covid-19.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, dan pada waktu itu Covid-19 melanda. Tak sempat urus perkara lain, tumpuan kami adalah keselamatan rakyat, kesihatan rakyat, menjaga ekonomi negara supaya tidak jatuh merudum.
“Satu-satunya kerajaan yang pernah menangani krisis kesihatan, ekonomi dan politik secara serentak dengan berjaya adalah kerajaan PN. Kami ada rekod, kami ada bukti,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kelemahan kerajaan pusat dalam menangani isu berkenaan membuktikan perlunya perubahan politik, termasuk di Sabah.
“Rakyat seluruh negara kini sedang menunggu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Kalau dah tak mampu nak urus, serahkan mandat semula kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Radzi memuji semangat rakyat Sabah yang disifatkan berani bangkit memperjuangkan keadilan dalam kes berkenaan.
“Rakyat yang paling berani membuat perubahan apabila perlu adalah rakyat negeri Sabah. Mereka melihat, mereka memerhati, mereka memendam, dan sampai masa mereka tunjukkan bukti.
“Saya dengar tadi, tentang bagaimana rakyat Sabah tanpa penglibatan parti politik bangkit membela pemergian seorang anak. Tak ada orang suruh, tak ada parti politik terlibat, tetapi rasa dalam diri rakyat Sabah ini menyebabkan himpunan berlaku satu demi satu di seluruh tempat.
“Saya perhatikan dalam sejarah Malaysia, tidak pernah berlaku bagaimana rakyat bangkit sebegitu sekali, bermula dari Sabah bergerak ke seluruh Malaysia.
“Dulu kita dengar dari Perlis sampai ke Sabah, sekarang ini dari Sabah sampai ke Perlis. Itu menunjukkan betapa rakyat Sabah hebat mempertahankan hak mereka,” katanya.