SHAH ALAM – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan arahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya laporan polis dibuat terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh berhubung himpunan di Kepala Batas sebagai tindakan berlebih-lebihan, janggal dan berpotensi memburukkan keadaan.
Takiyuddin berkata, sebagai parti dalam gabungan kerajaan di peringkat pusat dan negeri, DAP serta UMNO sepatutnya mencari jalan damai secara dalaman tanpa melibatkan pihak luar, termasuk polis atau orang awam dengan naratif yang tidak sihat.
“Pas percaya kedua-dua pihak hendaklah menghormati dan menyokong proses rasmi siasatan polis yang sedang berjalan tanpa menambah tekanan tidak perlu.
“Kegagalan berbuat demikian hanya akan membawa kita hanyut, malah boleh menjerumus kepada masalah berisiko lebih besar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu menambah, tindakan tidak berhemah oleh satu pihak akan mengundang tindak balas serupa atau lebih buruk.
Menurutnya, isu asal hanya melibatkan seorang individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik, namun telah diperbesarkan dengan alasan serta motif politik masing-masing.
“Suasana tidak selesa ini berpunca daripada tindakan seorang individu yang kini sudah dalam siasatan polis. Malangnya ia diperbesarkan oleh tindakan kedua-dua parti.
“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 tidak lama lagi, Pas menggesa semua pihak kembali menghayati falsafah pembentukan negara serta prinsip Rukun Negara demi merealisasikan cita-cita perpaduan dan kemakmuran tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa Pas telah menasihati sayap pemuda parti itu agar tidak mencampuri insiden berkenaan.