KUANTAN - PKR Pahang telah melaksanakan penstrukturan semula Majlis Pimpinan Negeri (MPN) menerusi mesyuarat yang diadakan pada Jumaat, sebagai langkah memperkukuh barisan kepimpinan parti di negeri ini.
Pengerusi MPN PKR Pahang, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, struktur baharu itu menggabungkan pelbagai latar belakang termasuk profesional, pendidik, aktivis masyarakat, reformis serta golongan muda.
"Barisan kepimpinan baharu ini juga menyaksikan adunan pemimpin daripada pelbagai kaum dan agama yang secara tidak langsung mencerminkan semangat Malaysia Madani, diyakini akan memperkukuh lagi perpaduan serta kekuatan PKR di Pahang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Selain itu, Ahmad Farhan berkata, PKR Pahang turut menetapkan agenda membasmi kemiskinan tegar selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Pada masa sama, beliau berkata, PKR Pahang sebulat suara menyatakan tekad serta pengharapan bagi mengeratkan lagi kerjasama dengan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, khususnya melibatkan UMNO negeri.
Selain Ahmad Farhan yang juga Ketua Cabang Indera Mahkota sebagai pengerusi, turut tersenarai dalam MPN baharu itu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Dr Sim Chon Siang selaku Timbalan Pengerusi.
Jawatan Naib Pengerusi pula dibarisi Ketua Cabang Bera, Senator Manolan Mohamad; Ketua Cabang Raub, G Sivananda dan Ketua Cabang Kuala Krau, Mohd Hafez Harun manakala Hilmi Yakap dan Sridayu Samsuri masing-masing dari cabang Kuantan dipilih sebagai Ketua AMK Negeri dan Ketua Wanita PKR Pahang. - Bernama