PRN Sabah: Tiada pertindihan kerusi antara BN-PH - Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah dimuktamadkan tanpa sebarang pertindihan, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan tiada sebarang rundingan dilakukan antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan pembahagian kerusi atau kerjasama bagi menghadapi PRN itu sebagai menghormati PH.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru dijangka tidak dapat dielakkan berikutan kemungkinan penyertaan parti lain serta baharu pada PRN kali ini.

"Yang sudah dimuktamadkan adalah BN-PH dan kita menghormati PH-GRS. Tidak ada rundingan secara langsung antara BN dan GRS. Jadi setakat itu, perundingan yang lain supaya dielakkan daripada tiga penjuru ataupun pertindihan kerusi itu dilakukan di belakang tabir.

"Namun saya rasa oleh kerana terlalu banyak parti baharu di Sabah mahu menyertai pilihan raya kali ini, tentunya pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan, mungkin hingga lapan penjuru. Itu terpulang kerana ia adalah landskap politik di Sabah. BN-PH tiada pertindihan kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, rundingan kerjasama dan agihan kerusi dalam gabungan BN, PH dan GRS bagi menghadapi PRN itu hampir selesai. - Bernama