Keputusan Mahkamah Persekutuan noktah isu Titah Adendum – UMNO Tumpat

KOTA BHARU – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seharusnya menjadi noktah kepada segala perdebatan.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tumpat, Che Muhammad Redzuan Jihad, yang juga peguambela dan peguamcara, menegaskan isu berkenaan tidak lagi wajar dibawa ke Mahkamah Tinggi kerana kedudukan titah tersebut sudah pun diputuskan di peringkat tertinggi.

“Titah Adendum adalah perintah daripada Yang di-Pertuan Agong, bukan suatu dokumen biasa yang boleh dijadikan modal politik.

“Jika perintah baginda sendiri memerlukan penelitian panjang sebelum dilaksanakan, di manakah kedudukan institusi Raja-Raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara?” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut mengingatkan bahawa kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan baginda mengampun, menunda atau meringankan hukuman bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan, termasuk menukar bentuk tahanan.

“Perdebatan berpanjangan hanya membuang masa dan mengelirukan rakyat.

“Pelaksanaan segera titah ini tidak akan memprejudiskan keadilan terhadap sesiapa, sebaliknya mengangkat martabat institusi Raja-Raja Melayu,” ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyatakan pandangan bahawa tiada keperluan untuk Titah Adendum itu diputuskan lagi di Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan kewujudannya.