SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun didakwa seolah-olah merendahkan intelektual rakyat apabila meminta mereka bersyukur dengan penghargaan yang diumumkan Perdana Menteri Rabu lalu.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, kenyataan itu bersifat sindiran terhadap rakyat berhubung sikap mensyukuri nikmat.
"Sebagai Menteri Besar, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi sebegitu seolah-olah rakyat tidak pandai menilai usaha dan gerak kerja pemerintah.
"Ia sebenarnya akan menambahkan rasa kebencian rakyat terhadap pemerintah Madani yang bersikap sombong," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kenyataan Aminuddin tersebut lebih kepada tujuan politik bagi menutup kegagalan janji-janji reformasi Perdana Menteri sekali gus mengalihkan kecaman majoriti rakyat terhadap 'pengumuman istimewa' itu.
Beliau berkata, sekiranya tiada gerakan Himpunan Turun Anwar pada Sabtu ini, kemungkinan tiada pengumuman penghargaan yang dikatakan luar biasa berkenaan.
"Bayangkan jika tidak ada berlaku gerakan ke arah himpunan ini, adakah Anwar akan sedia menurunkan harga minyak dan mengumumkan pemberian-pemberian yang dikatakan 'luar biasa' oleh para penyokong PMX kelmarin?.
"Saya yakin Anwar akan terus selesa tanpa mempedulikan kepentingan rakyat yang tertekan dengan kesan ekonomi semasa," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Negeri Sembilan turut menyifatkan Perdana Menteri diserang panik melampau dengan penganjuran Himpunan Turun Anwar apabila memberi penghargaan kepada rakyat secara segera.
"Jika ini sikap Anwar sebagai Perdana Menteri yang segera membuat pengumuman gula-gula kepada rakyat, maka elok setiap bulan dianjurkan himpunan supaya beliau konsisten menunaikan janji-janji reformasi," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Aminuddin menyeru masyarakat agar bersyukur dengan penghargaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang disifatkan memberi manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, bagi sesetengah pihak mungkin merasakan pemberian tersebut tidak memberi kesan, namun besar ertinya bagi golongan yang benar-benar memerlukan.