Pas–PN tawar alternatif kepimpinan Pahang lebih tersusun – Tuan Ibrahim

KUANTAN – Pas dan Perikatan Nasional (PN) Pahang bersedia tampil sebagai alternatif pentadbiran negeri yang lebih tersusun, inklusif dan berprinsip.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas-PN terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya, pendidikan dan menunjukkan komitmen terhadap isu rakyat dengan membawa perbahasan berasaskan fakta, cadangan bernas serta solusi realistik.

Menurutnya, melalui inisiatif Teraju Pahang, parti gabungan itu komited membawa gelombang perubahan dalam politik negeri.

"Kita tawarkan kepimpinan yang berintegriti, bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan berkeupayaan melaksanakan pentadbiran yang efisien.

"Gagasan ini dibina atas asas prinsip Islam, keutamaan rakyat dan kesediaan pentadbiran," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang merupakan ADUN Cheka berkata, rakyat Pahang berhak mendapat kerajaan yang mendengar keluhan mereka, memahami realiti hidup mereka dan bersedia bertindak dengan berani serta bijaksana.

"Pas–PN percaya bahawa masa depan Pahang harus dipimpin oleh barisan yang ikhlas, telus dan fokus terhadap kesejahteraan rakyat, bukan oleh kerajaan yang terus bercelaru dengan percanggahan dalaman serta agenda peribadi.

"Maka, inilah masanya untuk Teraju Pahang disambut oleh rakyat demi masa depan yang lebih sejahtera, stabil dan terjamin," jelasnya.

Tuan Ibrahim menambah, situasi politik semasa di Pahang menunjukkan perbezaan dalam gabungan parti kerajaan, khususnya antara UMNO dan DAP dari segi dasar, pendekatan dan keutamaan pentadbiran negeri.

Menurutnya, keadaan ini sama seperti yang sedang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan dan perbezaan itu menjejaskan hala tuju pentadbiran negeri secara menyeluruh serta akibatnya ditanggung oleh rakyat Pahang.

"Contoh paling ketara ialah isu pencerobohan tanah secara haram di Raub yang memperlihatkan pertembungan pendirian antara pemimpin UMNO dan DAP.

"Meskipun kedua-dua parti tersebut merupakan komponen kerajaan negeri Pahang, mereka gagal mencapai kata sepakat dalam menangani isu yang memberi kesan besar terhadap kelestarian alam sekitar, hak milik tanah dan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negeri.

"Keadaan ini memberi gambaran jelas bahawa kegagalan mencapai kesepaduan dalam pentadbiran menyebabkan dasar terganggu dan pembangunan terbantut," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa hubungan tidak serasi antara komponen kerajaan telah mengalih tumpuan daripada keutamaan rakyat kepada konflik dalaman.

Ujar beliau, kesan di lapangan dapat dirasai apabila pelaksanaan projek infrastruktur asas seperti pembinaan dan pembaikan jalan raya, bekalan air serta sistem pengangkutan luar bandar masih membebani masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman.

"Beberapa projek perumahan rakyat turut dilaporkan lewat daripada jadual, menimbulkan ketidakpuasan hati penduduk dan masih terdapat ratusan projek infrastruktur yang belum memasuki fasa pembinaan serta mengalami kelewatan pelaksanaan seperti dilaporkan oleh agensi berkaitan.

"Laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan kelemahan dalam pengurusan projek negeri seperti Taman Maritim Tanjung Agas di bawah PKNP, yang memperlihatkan kelemahan perancangan dan pelaksanaan sehingga menyebabkan pembaziran dan kerugian pelaburan," katanya.