SEREMBAN - Pas bersedia memberikan khidmat guaman kepada penjawat awam sekiranya mereka dikenakan tindakan kerana menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan Sabtu ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, menjadi hak setiap orang termasuk penjawat awam untuk berhimpun dan ia dijamin dalam Perlembagaan
"Hak rakyat untuk berhimpun ini, dijamin dalam Perlembagaan negara. Jadi apabila Perlembagaan jamin, tak sepatutnya ada peraturan lain yang bercanggah dengan Perlembagaan.
"Walaupun penjawat awam, dia ada hak untuk menuntut (berhimpun) dan sebelum ini pun banyak kumpulan penjawat awam yang berhimpun, misalnya doktor.
"Jadi kalau ada dikena tindakan, setiap parti bersedia beri bantuan. Insya-ALLAH kita yakin banyak pihak akan membantu," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui selepas Ceramah Pra Himpunan Turun Anwar Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Rabu.
Bagaimanapun katanya, setiap peserta himpunan terbabit dinasihatkan mengikuti peraturan ditetapkan terutama tidak membabitkan penggunaan senjata dan dipengaruhi tindakan provokasi.
Beliau juga berterima kasih kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang telah mengembalikan hak rakyat untuk berhimpun.
"Himpunan kita ini namanya himpunan aman dan kita terima kasih kepada bekas Ketua Hakim Negara kerana sebelum bersara telah jelaskan hak-hak rakyat untuk berhimpun.
"Hak polis nak membuat sekatan, tapi memadai sekadar menjamin tak berlaku perkara tidak diingini kerana itu tanggungjawab polis," katanya.
Melihat kepada 'mood' rakyat terutama selepas pengumuman penghargaan Perdana Menteri semalam, Tuan Ibrahim menjangkakan kehadiran ke himpunan itu akan lebih ramai berbanding sasaran Pas sebelum ini 300,000 orang.
Selain itu, beliau turut tidak menolak pengumuman penghargaan Perdana Menteri kepada rakyat yang dibuat semalam kerana berkaitan dengan Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan.
"Kenapa tidak tunggu masa pembentangan bajet. Sepatutnya pengumuman begini, dia buat masa bajet.
"Tapi kenapa dia buat sekarang? Maknanya pada bajet nanti tentunya ada lagi penghargaan sebegitu, bermakna kalau banyak lagi kita buat himpunan, mungkin banyak lagi rakyat dapat," katanya.