'Angpau merdeka’ tidak selesaikan beban rakyat - Gerakan

GEORGE TOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyifatkan pengumuman bantuan tunai RM100 kepada rakyat sebagai satu gimik populis yang tidak membawa impak besar kepada penyelesaian masalah kos sara hidup.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, apa yang digambarkan sebagai kejutan istimewa oleh Perdana Menteri hanya umpama ‘angpau Merdeka’ yang tidak memadai untuk meringankan beban rakyat ketika ini.

Menurut beliau, selepas 10 hari rakyat menanti dengan harapan, apa yang diumumkan hanya bantuan kecil dan tidak seiring dengan prinsip subsidi bersasar yang dilaungkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Kenapa RM100 ini perlu diberi kepada golongan maha kaya? Mengapa tidak disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan?

"Keputusan ini sangat melucukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pemberian RM100 untuk tempoh lima bulan membawa makna rakyat hanya menerima RM20 sebulan sedangkan pada masa sama mereka berdepan kenaikan pelbagai cukai dan caj utiliti.

"Rakyat memerlukan dasar jangka pendek dan panjang yang mampu menangani inflasi, ketidakstabilan pekerjaan serta masalah gaji yang statik, bukannya sekadar pemberian wang tunai bersifat sementara," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan cuti umum tambahan pada 15 September sempena Hari Malaysia yang menurutnya boleh menjejaskan produktiviti sektor ekonomi.

“Tahun ini ada satu cuti tambahan, bagaimana pula tahun depan?

"Adakah ini bentuk pentadbiran berstrategi atau hanya cubaan meraih sokongan rakyat melalui langkah populis?” katanya.

Mengulas mengenai isu pengekalan kadar tol, Tong Keong berkata, tindakan kerajaan menanggung lebih RM500 juta untuk mengelak kenaikan kadar tol hanya satu bentuk peralihan dana rakyat kepada syarikat konsesi, yang mana ia tidak menyelesaikan isu asas dan menggalakkan monopoli.

"Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum menunjukkan semangat reformasi yang sebenar, sebaliknya hanya bergantung kepada ‘gula-gula’ untuk meredakan keresahan rakyat.

“Jika kerajaan terus begini, rakyat akan hilang keyakinan. Negara perlukan pelan ekonomi mampan, bukan ‘angpau Merdeka’,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan lima langkah segera bagi meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, meskipun kadar inflasi keseluruhan bagi Jun 2025 mencatatkan hanya 1.1 peratus, terendah dalam tempoh 52 bulan.

Ia merangkumi bantuan tunai sekali bayar RM100 untuk semua rakyat berumur 18 tahun ke atas; pengisytiharan 15 September sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia; peruntukan penganjuran Jualan Rahmah Madani yang ditingkatkan sekali ganda menjadi RM600 juta; serta penangguhan kenaikan kadar tol dan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 pada akhir September.