MUDA kemuka lima tuntutan reformasi

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengemukakan lima tuntutan utama kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tekanan kepada agenda reformasi seperti dijanjikan.

Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisyah Abd Aziz berkata, antara tuntutan utama MUDA ialah mendesak kerajaan melaksanakan langkah konkrit bagi menangani krisis kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat pelbagai lapisan.

MUDA turut menuntut pemansuhan undang-undang drakonian yang menurut mereka masih digunakan bagi menindas suara rakyat, meskipun kerajaan kini pernah menjanjikan sebaliknya sebelum berkuasa.

Tuntutan seterusnya melibatkan semakan semula Akta Pembaharuan Semula Bandar bagi memastikan pembangunan semula bandar dilaksanakan secara adil, inklusif dan tidak mengetepikan kepentingan rakyat marhaen.

MUDA juga menggesa kerajaan memberi penjelasan penuh mengenai penganugerahan kontrak kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan menuntut agensi itu dibebaskan sepenuhnya daripada kawalan Pejabat Perdana Menteri.

Akhir sekali, parti itu menuntut supaya pemusatan kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan jawatan-jawatan penting negara ditarik semula, bagi memastikan amalan semak dan imbang dalam pentadbiran negara.

“Apabila mereka pembangkang, mereka turun ke jalan untuk perjuangkan suara rakyat. Bila dah selesa memegang kuasa, semua prinsip perjuangan telah digadai. Agenda reformasi yang pernah menjadi asas perjuangan kini ditolak ke tepi,” kata Amira dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut mempersoalkan penggunaan undang-undang zalim yang masih menindas rakyat serta tindakan memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada pemimpin terpalit rasuah, hanya demi menjaga kestabilan politik.

Amira menegaskan, MUDA tidak akan berdiam diri dan akan terus melawan selagi lima tuntutan ini tidak dilaksanakan.

"Kalau kita tidak lawan sekarang, sampai bila-bila pun sistem ini tak akan berubah,” tegasnya.