SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini didakwa berjaya melaksanakan beberapa inisiatif termasuk menurunkan harga minyak RON95 dan diesel tanpa perlu membuat janji dalam setiap ucapan dan kempen.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kerajaan ketika itu mengambil langkah nyata yang memberikan kesan langsung kepada rakyat, khususnya berkaitan penurunan harga minyak, kadar dasar semalaman (OPR) dan kos sara hidup.
“Tanpa perlu janji di dalam manifesto, tanpa mengeluarkan macam-macam formula, tanpa perlu berjanji dalam setiap kali ucapan dan kempen.
"Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN boleh sahaja menurunkan harga minyak RON95 dan diesel,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Tun Faisal menambah, kerajaan ketika itu mengambil langkah menurunkan dan memberi subsidi kepada harga minyak RON95 dan diesel ketika harga dunia jatuh.
"Sebagai contohnya, harga RON95 diturunkan dari RM2.08 ke RM1.25 per liter pada April 2020, manakala diesel pula diturunkan dari RM2.18 kepada RM1.43 seliter," ujarnya.
Menurutnya, kerajaan menanggung subsidi untuk mengekalkan harga siling hingga 2021.
Tun Faisal memberitahu, OPR juga diturunkan daripada 3.00 kepada 1.75 peratus hingga menjadi kadar terendah dalam sejarah, sekali gus menjadikan pinjaman lebih murah dan mengurangkan beban bayaran balik pinjaman.
Katanya lagi, pentadbiran PN ketika itu juga telah memberi diskaun bil elektrik sebanyak 10 hingga 40 peratus kepada pengguna domestik dan sektor terjejas bermula Mac hingga Disember 2020 melibatkan subsidi melebihi RM1 bilion.
Tambahnya, sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) ketika itu juga ditangguhkan enam bulan dan diskaun sewa sebanyak 30 hingga 50 peratus diberikan kepada premis perniagaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi kerajaan.