SEREMBAN - Pelantikan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi setiap negeri, kecuali Sabah masih belum dimuktamadkan.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelantikan bagi jawatan tersebut dijangka selesai hujung bulan ini.
"Jawatan itu masih kosong sekarang. Hanya satu negeri yang telah dilantik iaitu Sabah.
"Yang lain masih lagi di bawah kuasa presiden dan pelantikan dijangka selesai hujung bulan ini, ia akan diumumkan satu persatu," katanya pada Rabu.
Sebelum ini Biro Politik PKR dilaporkan berkata, bekas Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud akan menjalankan tugas sebagai Pengerusi Negeri Sabah.
Untuk rekod bagi sesi 2022-2025, Aminuddin yang merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan dilantik sebagai Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan; Wilayah Persekutuan dan Johor (Datuk Seri Rafizi Ramli); Selangor/Pahang (Amiruddin Shaari); Perak (Chang Lih Kang) dan Kelantan/Terengganu (Nik Nazmi Nik Ahmad).
Bagi negeri Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar; Kedah (Nurin Aina Surip); Sarawak (Roland Engan); Melaka (Mohd Rafee Ibrahim) dan Perlis (Noor Amin Ahmad).