SHAH ALAM – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa negara ini mengesan dan mengekstradisi dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low.
Kekesalan itu disuarakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor susulan pendedahan terbaharu yang menunjukkan ahli perniagaan buruan itu kini dipercayai menetap di Shanghai, China.
Menurut beliau, maklumat terbaharu itu dikemukakan oleh dua wartawan penyiasatan, Bradley Hope dan Tom Wright yang sebelum ini terkenal membongkar skandal penyelewengan dana 1MDB seharusnya membantu mempercepatkan usaha mengekstradisi Jho Low.
“Jika benar dia berada di Shanghai, maka menjadi tanggungjawab besar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membawa pulang Jho Low ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Selepas hampir empat tahun siasatan dijalankan, dalang utama skandal 1MDB itu akhirnya dikatakan berjaya dikesan.
Individu yang diburu pihak berkuasa antarabangsa itu dipercayai menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai dengan menggunakan pasport Australia palsu.
Pendedahan tersebut dibuat dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright yang disiarkan pada Jumaat, di mana kedua-dua wartawan berkenaan mendakwa Jho Low kini tinggal di kawasan eksklusif Green Hills dan memandu kereta mewah.
Beliau juga dikatakan beroperasi dari sebuah pejabat di Pusat Kewangan Shanghai meskipun kerajaan Malaysia masih berusaha untuk menuntut ekstradisinya.
Mengulas lanjut, Puad menyelar kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang sebelum ini mendakwa Jho Low menukar identiti hingga ‘berjalan seperti seladang’.
“Malah beliau pernah berjanji bahawa Jho Low akan dibawa pulang sebelum akhir Disember 2019. Namun, semuanya hanya sekadar ‘sembang kari’ yang akhirnya memalukan negara,” katanya.
Pada masa sama, beliau menempelak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya sering mempertikai pelantikan Ketua Hakim Negara semasa, sedangkan ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini, perkara sama turut dibangkitkan terhadap pentadbirannya.
“Jangan ‘sembang kari’ kononnya pelantikan Ketua Hakim Negara tidak bebas. Cermin diri sendiri dahulu,” ujarnya.
Puad turut menyentuh mengenai ketiadaan Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil di mahkamah ketika perbicaraan membabitkan seorang lagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ujarnya, ketiadaan dua saksi penting itu dianggap oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai punca menyebabkan pendakwaan terhadap Najib kini bersandarkan keterangan dengar cakap (hearsay).
“Kalau begitu, sepatutnya kes itu digugurkan,” katanya lagi.
Beliau turut mengaitkan perkembangan tersebut dengan persepsi rakyat bahawa wujud unsur konspirasi terhadap bekas Perdana Menteri itu.
“Hari ini hanya karma yang menjawab segala kemusykilan rakyat. Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Tommy Thomas, Latheefa Koya dan Tan Sri Terriruddin semuanya hilang kedudukan yang mereka impikan... dan ia berlaku dengan pantas,” katanya.