SHAH ALAM - Pas didakwa cuba menjadi ‘juara moral’ dengan memainkan isu berkaitan lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ) sedangkan negeri-negeri yang ditadbir parti itu mencatatkan jumlah kes sosial yang tinggi.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, menurut laporan dan kajian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta data tidak rasmi, Kelantan dan Terengganu sering merekodkan kes pembuangan bayi, gejala sosial dan penderaan seksual yang membimbangkan.
“Jika Pemuda Pas benar-benar serius, mengapa masalah sosial di negeri yang mereka tadbir tidak pernah surut?
“Mengapa masalah penagihan dadah di Kelantan yang diakui sendiri oleh Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Datuk Taib Azamudden masih berada di tangga teratas negara?” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kenyataan tersebut dibuat susulan gesaan Afnan Hamimi agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan secara terbuka bahawa amalan LGBTQ diharamkan dari sudut pandangan Islam.
Afnan sebelum ini mendakwa kerajaan memberi ruang sepenuhnya kepada golongan LGBTQ atas nama kebebasan hak asasi manusia, sehingga mereka menjadi semakin berani menzahirkan identiti.
Mengulas lanjut, Danish berkata, LGBTQ sememangnya diharamkan dalam Islam dan tidak pernah diiktiraf oleh undang-undang negara.
“Malaysia ialah sebuah negara yang berteraskan Perlembagaan dengan Islam sebagai agama Persekutuan. Mana mungkin kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim memberi ‘lampu hijau’ kepada amalan songsang itu?
“Sejak bila negara kita membenarkan LGBTQ? Golongan ini tidak pernah diiktiraf dalam mana-mana dasar kerajaan. Undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan, jelas memperuntukkan hukuman bagi perbuatan liwat dan hubungan sejenis,” tegasnya.
Jelas Danish, Anwar telah beberapa kali menegaskan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada agenda liberal ekstrem yang bertentangan dengan syariat dan budaya negara.
“Hak asasi manusia tidak bermaksud mengiktiraf perbuatan yang jelas bercanggah dengan hukum agama dan nilai kemanusiaan.
“AMK mengingatkan Pas supaya jangan menangguk di air yang keruh dengan retorik murahan untuk meraih populariti politik.
“Fokuslah kepada penyelesaian isu sebenar rakyat termasuk kemiskinan, pendidikan dan penagihan dadah di negeri-negeri yang mereka tadbir, daripada terus bermain isu sensasi yang sudah jelas pendiriannya,” katanya.