SHAH ALAM - Menggantung keahlian sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dalam isu badan kehakiman hanya akan menyebabkan parti itu tinggal 22 kerusi.
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, malahan menggantung keahlian beliau dan lapan ahli Parlimen itu tidak menyelesaikan masalah kerana mereka dibayar gaji oleh rakyat untuk bersuara dan mereka akan terus bersuara.
Menurutnya, tindakan penggantungan juga memberi gambaran bahawa tidak ada ruang demokrasi dalam parti itu lebih-lebih lagi apabila ada ahli Parlimen seperti Hassan Abdul Karim yang lebih teruk mengkritik Perdana Menteri sebelum ini tidak dikenakan apa-apa tindakan.
"Ada desakan supaya saya dan lapan lagi ahli Parlimen PKR yang memulakan syor penubuhan RCI mengenai badan kehakiman digantung.
"Maka ramailah ketua-ketua cabang di seluruh negara berlumba-lumba keluar kenyataan media mendesak kami digantung.
"Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh kata akan bentang kepada Majlis Pimpinan Pusat tidak lama lagi. Saya perhatikan saja. Anggota parti biasa pun perhati.
"Rakyat pun perhati juga. Nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji, sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan kat sebelah kita," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini wujud desakan daripada beberapa pihak di dalam PKR termasuk dari ketua-ketua cabang di Johor dan Kedah supaya tindakan disiplin seperti menggantung keahlian diambil terhadap Rafizi serta lapan ahli Parlimen PKR itu susulan tindakan mereka mengkritik kontroversi lantikan dalam institusi kehakiman yang dilihat memberi imej buruk kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Ahli Parlimen Pandan berkenaan menegaskan, sekiranya kerusi PKR berkurang, jumlah kerusi parti itu lebih sedikit berbanding beberapa parti-parti lain dalam gabungan Kerajaan Madani.
"Menggantung sembilan orang ahli Parlimen menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi, lebih sedikit dari DAP, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya.
Rafizi berkata, pimpinan PKR peringkat cabang dari generasi yang baharu menang selepas pemilihan parti baru-baru ini perlu tahu bahawa parti terbabit tidak dibina dengan menutup mulut.
Dakwa beliau, PKR nampak dinamik kerana sentiasa bergerak secara organik dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk membawa isu rakyat tanpa mengikut hirarki atau jawatan parti.
Katanya, parti tersebut juga diminati rakyat sebelum ini kerana mereka paling cepat dan lantang bersuara dalam isu-isu rakyat.
"Itulah amalan kami yang tua-tua ini sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baharu seperti ketua-ketua cabang ini untuk menjadi orang besar dan berjawatan.
"Kalau belum tahu budaya dalam PKR, ini satu petua yang saya nak kongsi.
"Sayangkan anak tangan-tangankan. Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Sayangkan negara tegur-tegurkan,” katanya.