Pelantikan Nick Adams penghinaan kepada dasar luar Malaysia

SHAH ALAM - Pelantikan pempengaruh konservatif kontroversi, Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia dianggap satu penghinaan terhadap maruah dan dasar luar negara yang menjunjung kedaulatan, keamanan serantau dan solidariti bersama rakyat tertindas khususnya Palestin.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Mus'ab Muzahar berkata, tindakan membenarkan individu berkenaan ke Malaysia sebagai Duta Besar AS ke Malaysia akan membuka pintu kepada agenda toksik dan politik kebencian AS.

Justeru, beliau menegaskan, pelantikan individu itu seharusnya ditolak secara tegas di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna tanpa perlu sebarang alasan.

"Nick Adams bukan diplomat, bukan negarawan. Beliau hanyalah seorang propagandis ekstrem kanan, tokoh penyokong Trump tegar serta penyokong lantang rejim Zionis Israel.

"Retoriknya di media sosial penuh kebencian, perkauman dan sentimen Islamofobia, sekali gus jelas jauh menyimpang dari semangat hubungan dua hala matang," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump menerusi platform Truth Social miliknya pada Khamis mencalonkan Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.

Trump memberitahu, Nick bukan hanya seorang nasionalis luar biasa dan usahawan berjaya, malah merupakan penulis buku terlaris, penceramah dan pengulas terkenal.

Mus'ab menegaskan, kedaulatan Malaysia membolehkan negara terbabit menentukan siapa yang layak mewakili negara asing di tanah air kita.

"Ia bukan soal peribadi, ia soal prinsip dan maruah negara. Malaysia bukan medan percubaan untuk boneka politik AS yang gagal di negaranya sendiri," ujarnya.

Justeru, beliau memaklumkan, pihaknya menuntut diplomasi membawa nilai keadilan dan bukannya suara propaganda memecah-belahkan dunia.

Beliau berpandangan, penolakan terhadap Nick Adams bukan ancaman terhadap hubungan Malaysia-AS, sebaliknya satu mesej bahawa Malaysia berprinsip, bermaruah dan tidak tunduk kepada permainan geopolitik negara tersebut.