SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya mengalami keletihan selepas mengayuh basikal sehingga terpaksa meninggalkan program Picnic & Potluck lebih awal sempena sambutan kelahiran ke-100.
Perkara itu dijelaskan anak kedua beliau, Tan Sri Mokhzani setelah bapanya hanya mengalami keletihan disebabkan kepadatan jadual dalam beberapa hari ini termasuklah turut menghadiri satu program lain pada Sabtu.
Justeru, beliau memohon maaf kepada orang ramai kerana bapa dan ibunya, Tun Dr Hasmah Mohd Ali terpaksa pulang awal dan tidak berkesempatan menyambut setiap tetamu yang hadir.
"Semalam pun kita ada satu program, sebelum itu pun kita ada program dan hari ini (Ahad) pula agak awal pagi kita mulakan program.
**media[3200395]**
"Tun mungkin agak penat sikit dan tidak dapat sambut semua orang yang datang hadir pada hari ini," kongsi beliau tentang perkembangan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menerusi rakaman video dimuat naik di Facebook pada Ahad.
Terdahulu, Dr Mahathir hadir pada program Picnic & Potluck sempena sambutan kelahiran ke-100 beliau pada 10 Julai lalu, serta ulang tahun kelahiran ke-99 Tun Dr Hasmah.
Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri keempat dan ketujuh, tiba pada jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum mengayuh basikal di sekitar Tasik Putrajaya.
Bagaimanapun, beliau dilihat keletihan dan duduk berehat di kerusi seketika sebelum menuju ke meja sarapan yang disediakan.
Dr Mahathir menunjukkan reaksi kepenatan selepas menamatkan kayuhan antara lapan hingga sembilan kilometer.
Beliau kemudiannya meninggalkan program kira-kira jam 10 pagi sebelum sempat beramah mesra dan bergambar dengan orang ramai yang hadir.
Mokhzani bagaimanapun memberi jaminan bahawa lebih banyak program seumpama itu akan dianjurkan pada masa hadapan supaya masyarakat berpeluang bertemu dan beramah mesra bersama bapa dan ibunya itu.
"Saya hendak ucapkan terima kasih kepada semua orang yang sudi hadir untuk program Picnic & Potluck hari ini dengan suasana yang sangat meriah," ujarnya lagi.
Beliau turut bersyukur apabila kedua ibu bapanya, Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah dapat bersama-sama menyertai program tersebut sebelum pulang awal disebabkan keletihan.
"Namun, percayalah kita akan adakan sebanyak mungkin program lain bagi membolehkan orang ramai berjumpa sekali lagi dengan Tun," menurut beliau lagi.
Dalam pada itu, Mokhzani turut menzahirkan rasa syukur kerana majlis itu dapat diraikan dalam suasana santai, penuh kasih sayang dan kekeluargaan.
"Alhamdulillah saya rasa syukur sangat kita dapat meraihkan hari jadi mereka hari ini dengan semua orang di Putrajaya, di tasik, tempat mana pun yang dia (Tun Dr Mahathir) suka datang untuk beriadah, kayuh basikal dan sebagainya.
"Insya-ALLAH, kita akan dapat adakan program begini dalam minggu-minggu yang akan datang. Saya ucapkan terima kasih lagi. Alhamdulillah," katanya.