Presiden UMNO akui terkhilaf, mohon maaf

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui berlaku kekhilafan dalam kenyataannya yang mengandungi perumpamaan mengenai malaikat seperti yang tular menerusi sebuah video baru-baru ini.

Menurut beliau, kenyataan itu diungkapkan dalam suasana penuh emosi ketika menjelaskan tekanan yang dihadapi sepanjang memegang amanah sebagai Presiden UMNO.

“Namun saya akui, perbandingan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata, sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai serta prinsip Islam, beliau dengan rendah hati memohon ampun kepada ALLAH SWT dan meminta maaf kepada semua pihak atas keterlanjuran tersebut.

“Saya menerima setiap teguran dengan hati terbuka. Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri dan belajar daripada kesilapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berdoa agar semua pihak sentiasa dibimbing ALLAH SWT supaya beradab dalam percakapan, terpelihara akidah dan berpaut teguh kepada kebenaran yang hakiki.