SEREMBAN - Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berharap rayuan kedua berhubung penggantungan keahliannya dalam UMNO dapat dipertimbangkan dan diterima pimpinan parti.
Beliau berkata, surat rayuan pertama telah dihantar tahun lalu, manakala yang terbaharu pada April lepas.
"Saya masih setia menanti keputusan rayuan tersebut dan sekiranya rayuan saya kali ini diterima oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, saya sangat-sangat menghargainya.
"Walaupun digantung, saya telah membuktikan masih setia bersama UMNO dan masih aktif menyokong rakan-rakan dalam parti terutama di kawasan Jempol," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut beliau, UMNO adalah satu-satunya parti yang menjadi pilihannya dari dulu hingga kini.
Tambahnya, meskipun sebelum ini timbul pelbagai desas desus kononnya beliau akan menyertai parti lain, namun beliau membuktikan ia tidak benar.
"Sekarang ini saya hanya 'rehat' seketika dari UMNO, tapi saya nak tegaskan perjuangan saya hanya untuk UMNO, tiada yang lain," katanya.
Mohd Salim dikenakan penggantungan selama enam tahun sebagai ahli UMNO bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Bagaimanapun Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara untuk melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian Tajuddin November tahun lalu.
Media pada Ahad melaporkan, Ahmad Zahid memaklumkan sehingga kini hanya dua surat rayuan rasmi telah diterima parti iaitu dari Tajuddin serta Mohd Salim.
Beliau juga berkata, UMNO menghormati usul yang dibawa oleh bahagian lain seperti UMNO Bahagian Sembrong baru-baru ini yang mengemukakan usul supaya bekas ketua bahagiannya, iaitu Hishammuddin diterima semula dalam kepemimpinan parti itu.
"Bagi individu yang mahu kembali, mereka perlu menulis surat rasmi memohon agar tindakan disiplin terhadap mereka ditangguhkan atau dibatalkan," katanya.