Usaha kerajaan banteras rasuah tak pernah terhenti - AMK Tambun

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tambun menegaskan bahawa usaha Kerajaan Perpaduan dalam membanteras rasuah tidak pernah terhenti meskipun berdepan cabaran struktur pemerintahan yang melibatkan pelbagai parti.

Timbalan Ketuanya, R Sharvin berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited dalam melaksanakan agenda reformasi termasuk memperkukuh integriti dan ketelusan dalam pentadbiran.

“Usaha memerangi rasuah bukan perkara mudah kerana ia telah berakar umbi sejak sekian lama, namun kerajaan Madani tetap melaksanakan langkah-langkah pembaharuan secara berperingkat.

“Komitmen ini tidak pernah pudar, malah diteruskan dengan penuh kesungguhan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama persatuan mahasiswa dari beberapa universiti tempatan yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Sharvin berkata, AMK Tambun menghormati hak mahasiswa untuk bersuara dan mengalu-alukan pandangan berbeza termasuk kritikan terhadap kerajaan, selagi ia disampaikan secara tertib dan berasaskan fakta.

“Kerajaan tidak pernah menyekat ruang demokrasi, malah sentiasa terbuka terhadap kritikan yang membina.

“Suara anak muda yang matang dan berhemah pasti lebih dihormati serta memberi pengaruh dalam proses pembentukan dasar negara,” katanya.

Tambah beliau, AMK Tambun yakin kerajaan hari ini akan terus melaksanakan reformasi secara menyeluruh termasuk dalam aspek membanteras rasuah, demi memastikan masa depan negara yang lebih bersih dan berintegriti.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang diadakan berhampiran Dataran Merdeka bertukar tegang apabila pihak polis cuba mententeramkan seorang individu yang dipercayai bertindak membakar suar berwarna jingga.

Tindakan polis yang cuba membawa lelaki tersebut keluar dari kawasan perhimpunan mencetuskan ketegangan dalam kalangan sebilangan peserta yang terdiri daripada kumpulan mahasiswa.