KUANTAN – UMNO Pahang mahu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing dan Lepar selain mempertahankan Parlimen Paya Besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemenangan di kawasan berkenaan penting bagi memastikan parti itu terus berkuasa di negeri ini.
“Matlamat kita adalah untuk pertahankan Pahang dan menang di Paya Besar. Kita juga mahu ambil balik Lepar dan Sungai Lembing.
“Tidak mustahil untuk kita rampas semula kawasan ini kerana kita pernah buktikan (kemenangan) di tempat lain sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar kali ke-30 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kuantan pada petang Sabtu.
**media[3182886]**
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, para perwakilan dan pemimpin UMNO negeri.
Wan Rosdy yang merupakan Menteri Besar Pahang memberitahu, parti itu pernah membuktikan kejayaan menawan semula kerusi yang dianggap sukar dimenangi
Jelasnya, sebagai contoh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tioman, sebelum pilihan raya ramai yang mendakwa tiada harapan untuk UMNO menang.
"Telah terbukti di Toiman, tuan-tuan tengok, dengar apa orang cakap sebelum itu? Tidak ada harapan untuk kita dan laporan mengatakan kita kalah, tapi akhirnya UMNO menang.
"Di Neggeri, Kelantan, negeri yang dikuasai oleh Pas, dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri)
itu sendiri pun (daripada) kawasan parti itu.
"Namun kita menang, jadi tidak mustahil PRU16 ini, kira rampas semula Lepar dan Sungai Lembang," jelasnya.
Wan Rosdy mengingatkan ahli UMNO agar minimumkan masalah dalaman parti yang disifatkannya sebagai antara punca kekalahan sebelum ini.
“Kalau kita ada masalah dalaman, parti kita boleh jatuh. Lihat syarikat besar seperti Coca-Cola dan Maggi, mereka bertahan sebab tiada masalah dalaman.
“UMNO kalah salah satunya sebab masalah dalaman. Bila tidak jadi calon, depan lain belakang lain. Kita kena bersatu kalau nak menang,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kemenangan hanya boleh dicapai jika semua ahli bersatu padu dan bergerak sebagai satu pasukan.
“Politik ini definisinya perebutan kuasa, kalau ikut matematik satu campur satu jadi dua. Tapi dalam politik, satu campur satu boleh jadi 11, jika kita bersatu,” katanya.