KUANTAN – Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai medan hidup dan mati perjuangan UMNO bagi memastikan masa depan anak cucu di Pahang terus terbela.
Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, PRU bukan sekadar proses memilih wakil rakyat tetapi penentu hala tuju negeri pada masa akan datang.
“Bagi kami, PRU ke-16 merupakan medan hidup dan mati perjuangan kita.
"Ia bukan hanya tentang memilih wakil rakyat tetapi menentukan hala tuju masa depan anak cucu kita di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar kali ke-30 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kuantan, pada petang Sabtu.
Mesyuarat itu dirasmikan Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ahli Parlimen Paya Besar itu menegaskan, UMNO tidak boleh lalai kerana ia akan memberi kesan besar kepada masa depan parti dan negeri.
“Jika kita cuai atau lalai, kita bukan sahaja akan hilang kuasa, malah hilang hak untuk menentukan nasib anak bangsa, negeri dan parti yang kita cintai.
“Kita jaga UMNO hari ini, UMNO akan jaga anak cucu kita esok... kalau kita pertahankan kuasa hari ini, esok rakyat akan terus menikmati pemerintahan yang adil dan peduli,” katanya.
Mohd Shahar memberitahu, UMNO Paya Besar bersedia menerima, memahami dan melaksanakan tujuh arahan strategik UMNO Pahang serta bertekad memberi yang terbaik menjelang PRU16.
Katanya, pada PRU lalu, daripada 24 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di bahagian itu, UMNO hanya memenangi enam PDM di peringkat DUN dan 13 PDM di peringkat Parlimen.
“Kami akui mengalami defisit kekalahan 8,609 undi di ketiga-tiga DUN tetapi memperoleh majoriti 1,317 undi di Parlimen.
"Ini membuktikan hampir 10,000 pengundi masih menaruh harapan kepada UMNO dan kami yakin kami boleh bangkit semula serta memikul tanggungjawab besar ini,” katanya.
Beliau menambah, UMNO Paya Besar komited untuk kekal menang di Parlimen Paya Besar dan mengembalikan ketiga-tiga DUN kepada BN.
Katanya, justeru strategi 3R iaitu kekal, rampas semula dan kurangkan telah digerakkan di setiap PDM dan lokaliti.
"Bagi mempertahankan PDM yang telah dimenangi perlu mengukuhkan akar umbi dan jentera parti rampas semula kubu tradisi yang tewas, dan kurangkan margin kekalahan di PDM yang kita kalah dengan jumlah besar.
“Kami sedar ini bukan hanya tentang kemenangan kerusi semata-mata tetapi kunci kepada kesinambungan kuasa kerajaan negeri dan terjemahan kekuatan politik parti keramat ini.
"Jadi, kami akan terus bekerja kuat untuk memastikan komitmen ini dapat direalitikan,” katanya.