KOTA BHARU – Pemilihan Pas peringkat kawasan di Kelantan berlangsung dalam suasana harmoni dengan majoriti jawatan disandang tanpa pertandingan.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, selari dengan amalan syura yang menjadi asas parti itu sejak sekian lama, hingga kini tiada kawasan yang mencetuskan perebutan kuasa secara terbuka atau kempen melampau dalam kalangan ahli.
Menurutnya, budaya kepimpinan dalam Pas ditentukan melalui perbincangan dalaman dan konsensus, bukan berdasarkan populariti atau kempen calon.
“Siapa berkempen, dia akan kalah, yang ‘menyejukkan’ diri, itulah yang naik.
“Ini budaya yang sudah lama diamalkan Pas,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Beliau yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Kelantan berkata, beberapa kawasan sudah selesai proses pemilihan, manakala selebihnya dijangka tamat sepenuhnya hujung minggu ini sebelum pencalonan untuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dimuktamadkan.
**media[3180927]**
“Selepas ini, kami akan mesyuarat kawasan demi kawasan untuk mencalonkan pimpinan pusat.
“Setakat ini belum ada kerana tunggu semua pemilihan kawasan selesai,” katanya.
Sebagai contoh pelaksanaan budaya syura, beliau merujuk kepada pemilihan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Mohd Daud yang dinamakan sebagai Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Pasir Mas bagi sesi baharu, walaupun tidak hadir ke mesyuarat kerana komitmen kerja rasmi.
“Beliau tak hadir mesyuarat kawasan kerana ada kerja lain, tapi tetap dinamakan oleh ahli untuk menggantikan Datuk Hanifa Ahmad.
“Ia bukti keputusan dibuat secara perbincangan bersama,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor.
Mohd Nassuruddin sebelum ini merupakan Timbalan YDP kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Wan Roslan turut mengesahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih kekal sebagai pilihan utama akar umbi, meskipun beliau beberapa kali menyatakan tidak mahu bertanding.
“Tok Guru Hadi dari dulu lagi tak nak. Tapi kami yang nak beliau.
“Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pun pesan, orang yang tak nak, itulah yang kita kena pilih,” katanya.