PUTRAJAYA – Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim Chee Keong tidak akan berganjak daripada melawan Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad berhubung pertikaian pelantikan Datuk Johnny Lim Kean Seng sebagai Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menerusi hantaran di laman sosial, Steven berkata, beliau dimaklumkan bahawa Zaharuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
“Pagi tadi, ketika berucap di sebuah forum peringkat ASEAN anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan WADAH, ada orang memberitahu saya tentang kenyataan balas Zaharuddin yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap saya.
“Beliau sendiri yang menghasut sentimen perkauman dengan memperalat gambar pelantikan Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia berbangsa Cina, malah parti beliau sendiri turut mengakui ahlinya bertindak sedemikian dalam kenyataan media mereka,” katanya pada Khamis.
Jelas Menteri Sumber Manusia itu, beliau hanya bersuara melawan tindakan perkauman tersebut dan mempertahankan ATM.
“Sekarang, kamu mahu ambil tindakan undang-undang terhadap saya?
“Saya tidak akan berganjak daripada melawan pemimpin Pas itu yang bersikap perkauman, rasis dan menghina perajurit kita.
“Saya tunggu surat saman daripada peguamnya,” ujar beliau.
Menurutnya, apa yang diperjuangkan olehnya adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan nilai perpaduan masyarakat Malaysia serta pengorbanan dan maruah anggota ATM.
“Saya menggesa sekali lagi agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap Zaharuddin,” katanya.
Johnny melakar sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama yang dinaikkan pangkat ke jawatan itu.
Pemakaian pangkat tersebut disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan disaksikan oleh semua panglima perkhidmatan dalam satu majlis di Wisma Pertahanan di sini pada Isnin lalu.
Pas dilaporkan turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaharuddin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pandangan Zaharuddin itu bukan sahaja tidak mewakili parti malah bertentangan dengan dasar serta Perlembagaan parti.